in

Filem Dokumentari ‘MAN ON THE RUN’ Dedah Kisah Sebenar 1MDB

Filem dokumentari berjudul MAN ON THE RUN (MOTR) mendedahkan skandal 1MDB yang pernah mendapat perhatian di setiap pelusuk dunia terutamanya negara tanah air, Malaysia.

1MDB merupakan skandal kewangan yang membabitkan bekas pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seorang individu yang sedang diburu, iaitu Jho Low. 

Menurut pengarah filem, Cassius Michael Kim, dia berminat untuk menghasilkan filem dokumentari kerana liputan yang cukup meluas terhadap kisah 1MDB tersebut.

“Walaupun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam.

“Jadi, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, MOTR berkisarkan mengenai kisah benar yang amat mengejutkan iaitu rasuah dan pengkhianatan yang menggugat kestabilan kewangan seluruh negara.

Perkara itu turut melibatkan seorang ahli perniagaan misteri serta playboy, Jho Low yang telah merancang untuk mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia melalui 1MDB.

Dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion duit ke dalam akaun bank global untuk memupuk gaya hidupnya yang mewah, termasuk pesta Hollywood malah membiayai pembikinan filem The Wolf Of Wall Street.

Lebih menarik lagi, pihak filem tersebut dapat menemu bual dengan individu dan pihak yang berkaitan dengan kisah 1MDB namun ada juga cabaran apabila ada segilintir daripada mereka tidak mahu ditemu bual bagi menjayakan filem dokumentari itu.

“Apa yang paling menarik perhatian apabila kami dapat membuat temu bual dengan individu terdekat yang dikaitkan dengan skandal ini iaitu Datuk Seri Najib sendiri.

“Sepanjang wawancara bersamanya, saya akui cukup kagum dengan keupayaannya untuk menjawab setiap soalan yang diberikan,” jelasnya.

Di samping itu, Cassius yang juga merupakan penerbit eksekutif berharap agar MOTR dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada orang ramai terhadap keburukan yang berlaku kesan daripada skandal terbabit.

“Mengenai Jho Low pula, saya juga mengharapkan agar dia akan dibawa ke muka pengadilan suatu hari nanti. Cuma mungkin ia agak sukar dan khabarnya dia kini sedang berada di Macau atau China.

“Sudah tentu saya sangat berminat untuk membuat wawancara dengannya jika saya ada peluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Untuk info, filem dokumentari MOTR sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 19 Oktober lalu.


Ditulis oleh Dhia Kz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

‘Showcase’ Siri Jelajah Album Berjaya, Amir Masdi Dinobatkan Artis Pertama Menyanyi di Hard Rock Cafe Melaka

Judikan Gegarkan Axiata Arena Dengan 12,000 Penonton