Berita baik buat peminat nasi kandar, FriedChillies berkolaborasi dengan Sunway Putra Mall menganjurkan Nasi Kandaq Fest yang berlangsung selama dua hari dari 23 September hingga 24 September.
Festival nasi kandar yang menghimpunkan 10 kedai nasi kandar terkemuka di sekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor itu memberi peluang kepada penduduk sekitar Lembah Klang merasai kesedapan nasi kandar dari ‘pakar’ nasi kandar.
Nasik Kandaq Fest dibantu oleh Nasi Kandaq Hunters dan Nasik Kandaq Transporters dalam pemilihan vendor nasi kandar yang terbaik.
Sebanyak 10 vendor nasi kandar iaitu Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed), Yusuf Restaurant, Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng, Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro, Hameediyah Restaurant, Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru, Restoran Kudu bin Abdul, Sithique Nasi Kandar, Sadam Nasi Kandar dan Nasi Kandaq Talam Johor Bahru.
Pengarah Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal turut berkongsi fakta menarik mengenai kesedapan nasi kandar yang bergantung pada joki kari.
“Seorang peminat nasi kandar tegar akan tahu yang sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya tertakluk pada kombinasi kari tetapi juga kemahiran seorang joki kari.
“Seorang joki nasi kandar ibarat barista di cafe. Dengan hanya satu pandangan mereka akan menilai dan menghasilkan kombo kari yang secocok dengan citarasa pelanggan, dan ini disesuaikan untuk semua pelanggan yang datang untuk menikmati nasi kandar di kedai mereka.
“Inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki tu yang membawa kelainan,” ujar Adly.
Sebelum penganjuran Nasik Kandaq Fest 2023, FriedChillis telah menganjurkan beberapa festival makanan yang mendapat sambutan ramai seperti I Eat Nasi Lemak, I Eat Burgers dan Ayam Lejen.
Pemilihan lokasi yang sentiasa dekat pengangkutan awam seperti komuter, lrt dan mrt menjadikan Sunway Putra Mall sebagai lokasi strategik untuk festival ini diadakan.
“I Eat Nasi Lemak telah berlangsung di Telekom Convention Centre dan kami sedar pada waktu itu yang orang kita suka makan nasi sambal ditempat berpendingin hawa.
“Sunway Putra Mall memang sudah lama berhajat untuk menganjurkan pesta makan yang boleh membawa rakyat Malaysia tak kira bangsa atau agama menikmati makanan bersama di bawah satu bumbung.
“Kebanyakkan acara FriedChillies telah diolahkan untuk berada di tapak-tapak yang berdekatan stesen pengangkutan awam dan juga ada tempat parkir yang sesuai.
“Sunway Putra Mall adalah sebuah mall yang sangat bagus lokasinya, berhampiran dengan LRT, MRT dan Komuter dan kemudahan lain termasuk servis e-hailing yang teratur”, tambah Adly.
GIPHY App Key not set. Please check settings