Karnival Mega Suria (KMS) telah menerima sambutan hangat daripada lebih 40,000 pengunjung yang hadir bertempat di Padang Timur, MBPJ, Petaling Jaya bertarikh 16-17 September lalu.
Lebih menarik lagi, rekod terbaharu tercipta apabila lebih 250,000 jumlah tontonan melalui platform digital Suria antaranya merupakan Youtube Suria TV, Facebook, Tiktok Suria FM, dan Aplikasi Suria Malaysia.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih mesra disapa sebagai DJ Lin menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada para pengunjung ke karnival tersebut walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, mereka tetap hadir.
Tambahnya, dia memaklumkan berasa agak gementar dengan karnival tersebut yang merupakan program pertama berskala besar namun lega dapat mencapai objektif yang dirancang.
“Terima kasih kepada rakan penaja diatas kerjasama baik bagi menjayakan karnival ini, juga tidak dilupakan buat semua pengunjung yang hadir memeriahkan acara pada Sabtu dan Ahad lalu. Ini merupakan kali pertama Suria FM mengambil inisiatif baru dengan menganjurkan satu program berskala besar yang berlangsung selama dua hari berturut-turut dengan pelbagai pengisian menarik bertemakan kekeluargaan.
“Mulanya sangat berdebar untuk menganjurkan karnival berskala besar, tapi inisiatif ini merupakan satu peluang bagi Suria FM untuk meneroka idea baru dalam usaha memperkukuhkan lagi jenama Suria di masa mendatang sekaligus para pengunjung dapat meluangkan masa lebih lama bersama barisan penyampai dan artis yang hadir,” jelasnya.
Dalam pada itu, terdapat banyak aktiviti menarik yang diadakan telah mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung antaranya ialah zumba kelolaan Hanif Shawn dan Achai, pertandingan mewarna kanak-kanak bersama Majalah Kuntum, juga pertandingan karaoke yang berlangsung pada jam 2.00 petang.
Sementara itu, DJ Lin turut menyaksikan keterujaan para pengunjung semasa persembahan disampaikan oleh artis-artis tempatan malah menikmati pelbagai aktivi menarik di booth-booth yang disediakan.
“Rata-rata pengunjung turut teruja menyaksikan persembahan istimewa dari barisan artis baharu (BBNU) seperti Diana Danielle, Razzuan, Haziq Hisham, Iqmal Romi, Syafiq Abdillah, Alyssa Dezek, Xone, Aiman Nomad, Santosh Logandran & How1e, Athalia, Fahimi, Killa Driz, Chaca Tisha, Zali Rusli dan Nurul Iman!
“Mereka juga berpeluang merakamkan memori indah bersama barisan penyampai Suria FM, menyertai pelbagai aktiviti menarik di booth Kedai Suria dan booth-booth yang tersedia di KMS,” katanya.
Di samping itu, KMS dimeriahkan lagi dengan acara kayuhan ‘Fun Ride Mega Suria @ PJ’ pada 17 September lalu malah berjaya mencatatkan lebih 500 penyertaan daripada peminat sukan berbasikal meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor Bahru dan banyak lagi.
Aktiviti terbabit bermula dari jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan perlu berkayuh dengan jarak sejauh 40 kilometer.
Ribuan pengunjung yang hadir turut dihiburkan lagi dengan penampilan khas dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai gimik persembahan pembukaan serta dimeriahkan lagi dengan nyanyian daripada barisan artis tanah air seperti Bunkface, Dayang Nurfaizah, Masdo, Dolla, Floor 88, Aris Ariwatan, Amir Masdi & The Band, Muss, Nabila Razali, Insomniacks dan ramai lagi.
Untuk maklumat terkini, layari suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia: Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l Twitter: @suria_malaysia
Para pengunjung boleh menggunakan hashtag istimewa iaitu #karnivalmegasuria2023 #suriafm #segalanyahiburan untuk sebarang interaksi berkaitan karnival ini di laman sosial.
GIPHY App Key not set. Please check settings