Pengarah dan pelakon sensasi, Farid Kamil dikhabarkan telah selamat bersatu semula bersama isterinya yang juga seorang pelakon dan penyanyi, Diana Danielle pada 31 Ogos lalu.
Ujar Farid, 42, perkara itu dikongsikan setelah Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 32, menjemputnya untuk berkumpul dan bersarapan bersama-sama.
“Alhamdulillah perkahwinan saya dapat diselamatkan dengan izin Allah dan sejarah itu telah mematangkan kami berdua.
“Saya dan isteri telah kembali rujuk pada 31 Ogos lalu,” katanya menerusi temu bual program hiburan semalam.
Dalam pada itu, pelakon kelahiran Alor Star, Kedah tersebut menafikan perkara yang terjadi bukan dirancang oleh dirinya atau Diana malah berlaku dengan takdir-Nya.
“Selepas pergi ke Kota Sufi Se-Nusantara di Sendayan dan hantar anak-anak saya pulang untuk ke sekolah, Diana mempelawa saya untuk bersarapan bersama.
“Saya tak menyangka perkataan (pelawaan) itu keluar dari mulut dia dan saya mengambil peluang itu untuk meluahkan apa yang saya rasa,” jelasnya.
Sementara itu, pelakon filem Bencinta itu meluahkan rasa gembira apabila pertemuan sarapan bersama itu bagaikan selangkah untuk memulakan kehidupan baharu selepas bercerai selama sebulan.
“Saya tidak menyangka pertemuan itu menyemarakkan lagi perasaan, bibit-bibit cinta, kasih sayang dan apresiasi yang selama ini kami cari.
“Setelah lima bulan saya tak bertentang mata dengan Diana, saya dan isteri tak berhenti berdoa dan menyerahkan harapan kami kepada Allah untuk memberi petunjuk taufiq serta hidayah,” ujarnya.
Belajar daripada kesilapan melalui perkara sebelum ini, pelakon filem J Revolusi terbabit perceraian memberinya pengajaran dalam menjadi individu yang lebih realistik untuk menilai semua kesalahan lalu.
“Pokoknya adalah agama supaya saya sebagai suami mampu membimbing isteri. Isteri saya juga harus menguatkan ilmu agama supaya dapat membimbing anak-anak sekaligus menjadikan perkahwinan lebih kukuh.
“Sudah tentu bila berlakunya penceraian, saya dan Diana mengambil masa untuk muhasabah diri dan menilai balik perkahwinan kami,” katanya.
Kelmarin, Diana dan Farid mengesahkan bakal rujuk semula secepat mungkin dalam waktu terdekat selepas sah bercerai talak satu 10 Ogos lalu.
Terdahulu, selepas tempoh 11 tahun perkahwinan, Diana dan Farid bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Perkahwinan mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, yang kini berusia lapan tahun.
GIPHY App Key not set. Please check settings