Suami kepada pelakon, Miera Liyana, Rosland Othman bertindak untuk meneruskan tuntutan nusyuz terhadap bekas isteri pertamanya, Adibah Abd Mutalib yang telah diceraikan pada 3 Ogos lalu.
Sementara itu, Adibah telah bersedia dengan segala kemungkinan untuk pembelaan diri san menafikan tuntutan nusyuz seperti yang diperkatakan oleh bekas suaminya itu.
Menerusi laporan Mstar, Adibah menyatakan dia keliru dengan keinginan bekas suaminya, akan tetapi dia tetap yakin tidak bersalah.
“Saya pun tak tahu apa dia nak. Saya sedia untuk membela diri. Saya yakin saya tidak nusyuz,” jelasnya.
Adibah berkongsi tentang perkara itu semasa ditemui oleh wartawan Mstar di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Adibah iaitu Mohd Junid Ramli berkata, defendan (Adibah) telah berusaha sehabis baik untuk menyelesaikan tuntutan terbabit sebelum mereka bercerai.
Namun begitu, Rosland sebagai plaintif tetap mahu meneruskan tuntutan nusyuz tersebut yang berlaku semasa mereka masih bergelar suami dan isteri.
“Ada perbincangan sejak awal lagi untuk selesaikan kes di luar mahkamah secara baik. Walaupun sudah bercerai tetap ada usaha untuk berbincang secara baik.
“Itu hak dia untuk teruskan di mahkamah. Mungkin ada alasan sendiri. Sebagai peguam, saya hanya jalankan tugas membela anak guam,” ujarnya.
Bagaimanapun, Adibah sepatutnya memberi keterangan balas berhubung kes itu namun Hakim Syarie Abdul Fatah Kamaruddin menangguhkan perbicaraan selepas proses penandaan dokumen selesai.
Antara dokumen yang turut dimasukkan adalah tuntutan poligami oleh Rosland di Terengganu pada 2020.
Adibah pula mendakwa dia tidak pernah menerima sebarang surat untuk hadir ke mahkamah bagi tuntutan terbabit.
Selain itu, Rosland tidak hadir ke mahkamah dan perbicaraan nusyuz itu akan disambung semula pada 21 dan 26 September 2023.
Untuk rekod, Rosland dan Adibah berkahwin pada 3 Jun 1995 serta dikurniakan lima cahaya mata yang berusia antara 11 tahun sehingga 26 tahun, namun bercerai pada 3 Ogos lalu.
Rosland mendirikan rumah tangga bersama pelakon antagonis, Miera Liyana pada Julai 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
GIPHY App Key not set. Please check settings