Selepas 20 tahun, akhirnya festival yang mencungkil bakat kugiran tempatan Battle Of The Band (BOTB) 2023 kini kembali.
Festival ini menggunakan format baharu yang bermula dengan pertandingan kugiran sebelum diakhiri dengan sebuah konsert mega.
Menurut Pengarah MASH Entertainment Sdn Bhd merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Pembangunan Hidayah (HERO), Dr Murad Hilmi Mohamed, festival akan menjadi platform kepada bakat muda yang ingin menunjukkan karya muzik mereka.
Tambahnya program ini memberi peluang kepada generasi muda mempamerkan bakat terpendam dikalangan pemuzik Malaysia malah ia juga terbuka kepada kumpulan dari seluruh Asia termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.
“Apa yang ingin di ketengahkan adalah untuk garap kualiti muzik yang berkualiti dan bakat-bakat yang bakal menjadi penerus legasi untuk mewarnai industri.
“Diharap festival ini juga dapat memberikan impak yang besar kepada industri muzik Malaysia dengan kepelbagaian genre berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Menurut Murad lagi, peserta perlu melalui sesi saringan pertama iaitu peringkat penyingkiran yang bakal berlangsung dari 7 hingga 10 September depan bertempat di Pasir Gudang, Johor.
Seramai 15 peserta pada saringan pertama akan dipilih dan diuji sekali lagi pada sesi separuh akhir pada 23 September.
“Kemudian, 10 peserta terbaik dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.
“Pemenang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi selain berpeluang untuk merakam single baharu. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga menerima RM5,000 dan RM3,000,” katanya.
Tambah Murad, peserta dikehendaki menyampaikan lagu ciptaan sendiri walaupun belum mempunyai single di pasaran.
“Kita juga bercadang untuk menganjurkan pertandingan bagi musim kedua dan ketiga sekiranya mendapat sambutan hangat daripada peserta,” katanya.
Sementara itu, beberapa nama lagenda BOTB antaranya Lord Lokman, Ekamatra, Bloodshed dan Damasutra bakal bertindak sebagai mentor bagi festival ini.
GIPHY App Key not set. Please check settings