Bekas peserta Big Stage, Aufahanie berkongsi sebuah muzik video yang menyanyikan semula lagu Saat Hilang Cintamu, nyanyian sebenar oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin sempena genap dua tahun pemergiannya telah mendapat perhatian netizen.
Menerusi video tersebut, kelihatan komposer dan juri terkenal, Ajai mengiringi persembahan Aufahanie dengan bermain papan kekunci.
Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 48, merupakan pencipta lagu tersebut yang telah dikeluarkan pada tahun 2003.
Mendapat tempat kelima dalam program realiti nyanyian Big Stage, penyanyi berusia 20 tahun itu tidak berputus asa dalam membuktikan bakat nyanyiannya malah dia dapat menyanyikan kembali lagu tersebut dengan merdu sekali.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya kagum dan memuji tinggi kelunakan suara Aufa atau Nurul Aufahanie Mokhtar malah mereka turut berterima kasih kepada Ajai memberikan peluang kepada gadis itu untuk menyanyikan lagu tersebut.
“Tahniah Aufa, suara awak memang sedap dan terbaik. Terima kasih abang Ajai kerana beri peluang Aufa cover lagu arwah Siti Sarah.
“Sedapnya, merdu. Terbaik Aufa. Terasa sebak.
“Ya Allah sedap sangat ni. Memang mainkan lagu ini sambil menangis,” tulis beberapa netizen.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor itu turut meluahkan rasa sebak semasa menyanyikan lagu tersebut menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
“Sesi studio bersama Abang Ajai yang sangat baik dan saya menitiskan air mata juga,” tulisnya di kapsyen.
GIPHY App Key not set. Please check settings