Kemelut rumah tangga ibu kepada penyanyi, Shila Amzah iaitu Datin Fauziah Sarman dan bapanya yang merupakan pelakon dan penyanyi era 1980-an, Datuk ND Lala telah berakhir.
Menerusi perkongsian di Instagram milik Fauziah, dia meluahkan rasa syukur bahawa perkara ini sudah sampai ke penghujungnya.
Tambahnya, dia turut mendedahkan bahawa bekas suaminya itu telah melafazkan cerai pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar-Rahman, Bangsar dan dikhabarkan perkara tersebut pada dirinya pada Selasa lalu.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp.
“Alhamdullilah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah,” ujarnya.
Rentetan itu, tujuan ibu kepada penyanyi lagu Patah Seribu itu memaklumkan perkara terbabit adalah untuk menjelaskan situasi dan status sebenar dirinya kepada khalayak ramai untuk mengelakkan fitnah akan datang.
“Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini,” jelasnya.
Mengenang kisah pahit yang lalu membuatkan Fauziah mengharapkan yang terbaik supaya dirinya terus kuat untuk menghadapi ujian yang akan datang.
“Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.
“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua,” tulisnya di kapsyen.
Terdahulu, tular mengenai ND Lala berkahwin dengan wanita lebih muda yang merupakan rakan sekolah anaknya, Shila Amzah, yang mana perkara itu pernah didedahkan sendiri oleh bekas isterinya, Fauziah menerusi Instagram miliknya pada April lalu.
Namun begitu, tiada sebarang penjelasan lebih terperinci berhubung perkara tersebut.
Ketika majlis pernikahan Shila dan suaminya, Ubai Mz pada 5 Ogos lalu, ND Lala hadir sebagai wali untuk menikahkan Shila dan selepas itu dia bergegas pulang meninggalkan majlis.
Untuk rekod, ND Lala atau Amir Amzah Salleh, 62, mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada tahun 1989.
GIPHY App Key not set. Please check settings