Hangat di media sosial mengenai pengacara dan pelakon, Irma Hasmie dikhabarkan memuat naik satu hantaran di Instagram miliknya berbaur sindiran yang menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.
Ujar Irma atau Irma Hasmie Ibrahim, 41, dia menasihati golongan suami supaya lebih menghargai pengorbanan seorang wanita yang sudah melahirkan zuriat mereka.
“Jangan ajari seorang isteri sabar kerana dia pernah digunting, dipotong, dijahit hidup-hidup untuk memberimu gelaran seorang ayah,” tulisnya di kapsyen.
Hantaran itu turut memaparkan foto pelakon Cinta Fotokopi itu dalam keadaan duduk dan menunduk melihat telefon pintar malah menukar warna asal foto tersebut kepada hitam dan putih.
Menjengah ke ruangan komen, segelintir warganet meminta ibu kepada dua cahaya mata itu untuk terus bersabar dalam liku-liku kehidupan berumah tangga malah ada yang memahami maksud tersirat kapsyen itu.
“Terus kuat dan sabar.
“Laa ada juga yang koyak. Ini Instagram dia. Kalau kita baca tak ada perasaan hasad, maksudnya akan sampai dengan cara baik kita boleh terima dengan hati yang terbuka.
“Hanya isteri sahaja yang tahu maksud ayat ini. Wahai suami hargailah seorang isteri yang Allah telah amanahkan untukmu sementara.
“Jaga dia baik-baik. Pengorbanan seorang isteri, ibu, tiada kata boleh digambarkan betapa kuat dan sabarnya mereka,” tulis beberapa netizen.
Namun, segelintir warganet ada juga tidak sependapat dengan kapsyen tersebut seolah-olah bukan isteri sahaja yang berkorban dalam kehidupan berumah tangga, tetapi suami juga.
“Tak perlu banding macam ni. Lelaki pun ada perjuangan dia juga. Keluar pagi balik malam demi mengisi perut anak-anak bini dengan keluarga.
“Kadang-kadang terpaksa ikat perut. Tanggungjawab suami pun besar nak bawa anak dan isteri serta keluarga ke syurga.
“Jangan ada rasa diri terpaling berjasa dan berkorban. Cintailah pasangan kita kerana Allah Ta’ala setulusnya,” tulis seorang netizen.
Pelakon Main-Main Cinta itu tidak terus melatah dengan komen negatif malah menerima dengan baik serta turut meminta maaf andai sesiapa yang masih beranggapan negatif dengan kapsyen yang ditinggalkan dalam hantaran tersebut.
“Masya-Allah, tahniah. Semoga Allah memberkati kamu.
“Minta maaf semua. Kebaikan itu datang dari Allah dan keburukan adalah daripada diri saya sendiri,” balasnya di komen hantaran terbabit.
Menerusi tinjauan ke akaun Instagram milik hos Assalamualaikum itu, kelihatan seperti dia sudah tidak lama memuat naik foto suaminya selain lebih banyak meninggalkan foto berbentuk kata-kata sahaja.
Untuk info, Irma telah mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Reza Syah Ameer Mohd Redzuan yang merupakan ahli perniagaan pada 29 Jun 2012, dan telah dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini berusia 10 tahun dan sembilan tahun.
GIPHY App Key not set. Please check settings