Tular di media sosial apabila ada segelintir netizen mengatakan filem Mat Tudung Begins memiliki unsur LGBT selepas melihat poster filem tersebut menampilkan Datuk Fizz Fairuz dan Achey memakai pakaian seperti wanita.
Pengarah serta pelakon filem Mat Tudung Begins, Datuk Fizz Fairuz berkata filem tersebut bukanlah mengenai seorang lelaki yang ‘memondan’ namun ia menceritakan tentang penyamaran seorang lelaki menjadi wanita untuk menyelesaikan masalah.
“Tidak ada babak-babak memondan dalam filem ini. Poster tersebut hanyalah untuk menarik perhatian penonton.
“Nak tahu kisah sebenar, beli tiket dan nilai sendiri filem ini. Babak saya memakai baju perempuan tidak sampai 10 babak.
“Watak saya berpakaian seperti perempuan dengan tujuan untuk mendengar masalah watak Neesa yang dipegang oleh Isyariana. Dia mahu ceritakan masalah mestilah lebih selesa bercerita dengan perempuan bukan?,” jelas Fizz.
Pelakon yang juga suami kepada Datin Almy Nadia ini ditemukan sewaktu Malam Gala Mat Tudung Begins yang berlangsung di TGV Cinemas, 1 Utama Petaling Jaya.
Dibandingkan filem Mat Tudung dan Mat Tudung Begins, Fizz menyatakan filem arahannya itu berpakaian wanita lebih minimalis berbanding filem yang sebelumnya.
“Pakaian wanita dalam filem Mat Tudung lebih ekstrim berbanding Mat Tudung Begins.
“Untuk prekuel ini saya hanya memakai tudung sahaja dengan sedikit solekan iaitu bedak dan juga gincu,” katanya lagi.
Filem Mat Tudung Begins merupakan prekuel untuk filem Mat Tudung yang dulunya ditayangkan pada tahun 2014.
Selain Datuk Fizz Fairuz, filem ini juga dibintangi oleh Achey, Isyariana, Maryam Duriankimchi, Kazar, Fazlina Ahmad Daud dan Mimi Peri.
Mat Tudung Begins akan ditayangkan di pawagam bermula pada 3 Ogos 2023.
GIPHY App Key not set. Please check settings