in

Persiapan kahwin dah lengkap, Ubai Mz diuji kehilangan adik & ibu

Pempengaruh media sosial, Ubai Mz meluahkan rasa pilu apabila diuji kehilangan dua ahli keluarga yang disayangi, Allahyarham adik dan ibunya, Rohani Jamal, 52, dalam masa yang singkat.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, dia memaklumkan persiapan perkahwinannya yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi sudah siap malah menganggap perkara ini sebagai ujian buat dirinya.

Tambahnya, tunang kepada penyanyi, Shila Amzah, tidak lupa akan pesanan Allahyarham ibunya untuk tetap meneruskan majlis kerana ramai yang sudah dijemput bagi memeriahkan suasana.

“Dua kehilangan dalam tempoh masa tiga bulan. Adik pergi sebelum Ubai bertunang, Mak pula pergi lagi beberapa hari sebelum Ubai bernikah. Besar ujian dan dugaan ini.

“Persiapan nikah dan sanding semua dah siap tetapi Allah Maha Mengetahui, semua yang jadi pasti ada hikmah.

“Ubai ingat pesan Mak. Apa-apa yang jadi majlis mesti diteruskan dan jangan tangguh. Saudara mara, kawan-kawan Mak, kawan-kawan Ubai, jururawat dan doktor hospital semua tahu Mak. Mak pesan kat semua orang tentang majlis kami,” tulisnya di kapsyen.

Dalam pada itu, personaliti Tiktok yang berusia 25 tahun itu turut berkongsi keinginan Allahyarham ibunya ingin memakai baju putih pada hari perkahwinannya itu dan turut meminta semua ahli keluarganya memakai pakaian warna yang sama.

“Untuk nikah dan sanding ni, Mak nak semua orang pakai baju putih. Mak memang nak juga baju putih. Baju Mak pun Ubai dengan Sha dah beli, alhamdulillah Mak pakai cantik sangat haritu,” tulisnya.

Susulan itu, pengacara media sosial itu turut berjanji pada ibunya untuk menjaga bakal isterinya, Shila serta ahli keluarga yang lain dan turut memberi penghargaan dalam bentuk ucapan ringkas buat kakitangan hospital yang telah menjaga ibunya.

“Ubai janji dengan Mak, Ubai akan jaga Sha, adik beradik dan keluarga yang lain. Mak berehatlah.

“Terima kasih pada yang pernah buat Mak tersenyum, tertawa semasa perjuangannya. Terima kasih jururawat, doktor dan kakitangan PPUM yang jaga Mak dari awal hingga ke akhir,” ungkapnya.

Tidak lupa juga ucapan ringkas buat Allahyarham ibunya, Ubai berterima kasih atas segalanya dan akui dirinya kuat untuk melalui ujian ini.

“Terima kasih Mak untuk segalanya. Jangan risau Mak, anak Mak kuat!” luahnya di kapsyen.

Pada 30 Julai lalu, Ubai memaklumkan berita pilu pemergian Allahyarham ibunya, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang melalui hantaran di Instagram miliknya.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Subang Jaya pada jam 11.30 malam kelmarin.

Untuk info, Ubai dan Shila telah mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu menerusi majlis tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga, saudara rapat dan kenalan.

Shila pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, Haris Edraki Elias pada 2019 namun bercerai pada 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun.


Ditulis oleh Dhia Kz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Sekitar Majlis Pelancaran Khas Anugerah Telenovela 9 (FOTO)

Baru Buka Tudung, Masya Masyitah Berani Tayang Pusat Pula