Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana akui dia seronok membawakan watak sebagai seorang ‘penyondol’ dalam drama terbarunya yang berjudul Hijrah Jannah.
Menurut Puteri Sarah, dia belum pernah membawakan watak antagonis, dan kali ini dia mahu membuktikan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
“Kali ini saya cuba untuk bawa watak yang lain daripada yang lain. Saya tak pernah melakonkan watak antagonis sebelum ini. Watak Munirah ini mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.
“Sebelum ini sewaktu saya belum berkahwin dan tidak berhijab, selalu dapat watak anak orang kaya. Kemudian selepas berhijab, dapat watak sedih dan perempuan kampung. Kali ini dapat watak jahat dan perampas,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Hijrah Jannah.
Memandangkan ketika berlakon drama ini, dia juga turut berhadapan dengan kemelut rumah tangga yang melibatkan ‘penyondol’. Ditanya adakah dia terbawa-bawa emosi dan terkesan dengan apa yang berlaku, kata Sarah perkara itu tidak terjadi.
“Saya tak ada masalah membawa watak ini. Saya sejenis kalau ada masalah peribadi, saya tidak akan campur adukkan dengan kerja. Sewaktu saya berlakon drama Andai Itu Takdirnya pun saya sedang berhadapan masalah rumah tangga. Tetapi bila saya berada di set penggambaran, roh watak itu terus masuk,” ujarnya.
Sebagai seorang yang pernah berhadapan dengan ‘penyondol’ dalam rumah tangganya, Sarah akui dia tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kehidupan realitinya.
“Saya tahu penonton akan cuba kaitkan juga. Memang akan jadi isu perkara ini. Tetapi pada saya kenapa tidak saya cuba sesuatu yang baru? Saya rasa sangat seronok. Saya tak tahu kenapa, tetapi saya rasa sangat seronok bawa watak ini,” jelasnya.
Kata ibu kepada dua orang anak ini, dia juga sudah bersedia andai penonton membenci wataknya dalam drama ini.
“Saya takut juga sebenarnya sebab orang sudah mula sayangkan watak Umairah dalam drama Andai Itu Takdirnya. Dalam drama Hijrah Jannah ini saya pasti ramai akan membenci watak saya dan Aida Khalida.
“Sebab itu saya rasa watak ini macam sangat menarik untuk saya. Sebelum ini saya rasa seperti tidak dapat mengembangkan bakat lakonan saya. Orang mungkin pandang saya sekadar berwajah cantik. Saya tak mahu dilabel seperti itu,” kongsinya.
Selain Puteri Sarah, drama Hijrah Jannah yang diarahkan oleh Feroz Kader ini turut dibintangi oleh Remy Ishak, Daniella Sya, Ezaidi Aziz, Daniel Fong dan ramai lagi. Hijrah Jannah mula menemui penonton di slot Tiara pada 5 Jun 2023 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di saluran Astro Ria.
GIPHY App Key not set. Please check settings