Hujung minggu lalu kecoh di media sosial apabila penyanyi popular yang juga juri tetap Big Stage 2023 tampil dengan busana bersaiz gergasi sewaktu menjurikan konsert minggu keempat.
Aina memakai busana yang direka oleh pereka muda semakin meningkat naik iaitu Masyadi Mansoor yang berkonsepkan ala-ala tilam dan bantal.
Ramai netizen yang menuduh Aina sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri dan biadap terhadap penonton yang duduk dibelakangnya kerana menghalang penglihatan mereka ke arah pentas.
Aina sewaktu ditemui pihak media berkata, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu yang besar oleh netizen kerana ada banyak lagi isu di luar sana yang perlu diberikan perhatian.
“Saya ada terbaca komen-komen yang agak melampau. Saya terkejut juga ‘feedback’ netizen. Ada juga yang sampai ingin memboikot saya gara-gara baju yang saya pakai. Saya pernah pakai baju yang lebih besar dari itu.
“Ada banyak lagi isu di Malaysia yang kita boleh ketengahkan dan perbaiki. Bukan isu baju saya ‘blocking’ penonton.
“Kalau saya pakai baju yang ‘simple’ pun belum tentu penonton di belakang akan nampak dengan jelas apa yang ada di pentas. Kerana tempat duduk juri diletakkan di atas ‘platform’. Benda ini kadang-kadang saya terfikir untuk cakap, tetapi takut orang kata saya riak pula,” katanya.
Kata Aina lagi, isu ini bukanlah perkara baru baginya. Malah sejak dari tahun dia popular dengan lagu ‘Sumpah’ lagi, dia sudah sering terima kecaman tentang fesyen yang digayakannya.
“Bukannya saya tidak mahu endahkan ataupun bersikap degil. Saya ada sebab kenapa saya palai baju sebgitu. Ada mesej yang saya cuba sampaikan. Tema konsert Big Stage pada minggu itu ada Galau. Bagi saya dan juga pereka fesyen, katil dan tilam adalah tempat untuk kita luahkan segala rasa sedih. Itu yang cuba kita bawakan. Tetapi lain yang kita nak ketengahkan, lain yang berlaku,” kongsinya.
Sejak minggu pertama Big Stage 2023 bersiaran, Aina sering tampil dengan fesyen-fesyen unik yang sering kali menjadi perhatian ramai. Apa pula yang akan dipakai oleh Aina minggu ini? Sama-sama kita nantikan.
GIPHY App Key not set. Please check settings