Penyanyi popular, Shila Amzah mengumumkan pertunangannya bersama Ubai menerusi hantaran di Instagram
Penyanyi popular, Shila Amzah telah mengikat tali pertunangan bersama cinta hatinya iaitu pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Ubai.
Berita gembira itu dikongsinya oleh Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 33, menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram.
“Alhamdulillah, terima kasih buat semua kawan-kawan yang tolong kami ‘settle’ majlis ini.
“Ubai dan saya mahukan majlis pertunangan yang intim. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar.
“Terlebih terkurang dari pihak keluarga Sha, kami minta maaf ya.
“Dan yang terakhir terima kasih buat semua yang mendoakan kami. Semoga kami kuat menghadapi apa yang mendatang,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Sementara itu di bahagian komen kelihatan ramai rakan selebriti serta netizen yang memberikan ucapan tahniah kepada pasangan ini.
Terdahulu, beberapa hari lalu, Shila telah memuat naik status di media sosialnya yang seakan-akan memberi bayangan bahawa sesuatu akan berlaku dalam hubungannya dan Ubai. Ramai yang membuat anggapan bahawa mereka sedang dilanda masalah. Namun selepas beberapa hari, Shila menukar kapsyen di gambar itu dengan menulis “All is well, don’t worry”.
Shila dan Ubai dikatakan mula berkenalan sewaktu Shila terlibat dengan program The Masked Singer Malaysia musim kedua pada tahun lalu. Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zukefli adalah 8 tahun lebih muda daripada Shila.
Namun usia bukan penghalang buat pasangan ini untuk menyulam cinta.
Shila sebelum ini pernah berkahwin pada tahun 2018 sebelum bercerai pada tahun 2022. Hasil perkahwinannya yang terdahulu, Shila dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia 4 tahun.
GIPHY App Key not set. Please check settings