Proses mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pelakon Puteri Sarah Liyana dan suaminya iaitu pengarah, Syamsul Yusof tertangguh selepas peguam mewakili Syamsul, Azmi Mohd. Rais meminta pihak plaintif untuk memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh suaminya.
Menurut Azmi, hakim telah mengarahkan supaya isu lafaz cerai itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes-kes lain diteruskan.
“Pihak hakim meminta plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang didakwa telah dilakukan sebanyak dua kali oleh Syamsul. Jadi dapatan (keputusan) JKP perlu ditangguhkan dahulu membabitkan perintah shiqaq,” katanya.
Jelas Azmi lagi, prosedur JKP sepatutnya dilakukan secara bersama dan bukanlah berasingan.
“Pengerusi JKP memberi keterangan mengenai cara pengendalian sesi JKP dan berpendapat sesi tersebut sepatutnya dibuat secara berasingan mengikut situasi.
“Tetapi kami tidak bersetuju. Kami juga memandang serius prosedur itu dan mengenai dakwaan lafaz cerai itu pun anak guam (Syamsul) saya tidak tahu kerana prosedur tersebut dijalankan secara berasingan.
“Itulah masalahnya apabila JKP dibuat secara berasingan. Ambil nota tetapi pihak dan wakil tidak bercakap antara satu sama lain. Jadi isu lafaz cerai ini anak guam saya tidak menjawab dalam prosedur JKP,” katanya.
Tambah Azmi, hakim mengarahkan kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan dahulu kes pengesahan lafaz cerai yang perlu difailkan oleh pihak plaintif.
“Isu yang lebih penting sekarang adalah Yang Arif telah memerintahkan bahawa pihak berkenaan kena memfailkan pengesahan lafaz cerai.
“Jadi pada 14 Jun ini adalah untuk mengetahui status pengesahan lafaz cerai,” jelasnya.
Terdahulu pasangan ini hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis bagi mendengar keputusan hasil Jawatankuasa Pendamai (JKP). Dapatan JKP terhadap prosedur yang telah dijalankan mendapati perkahwinan ini tidak lagi boleh diselamatkan kerana terdapat shiqaq (perbahalahan berpanjangan) dan kewujudan pihak ketiga.
Foto : Astro AWANI/ShahirOmar
GIPHY App Key not set. Please check settings