Pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad mengakui dia tidak kisah soal bayaran sewaktu dia ditawarkan membintangi filem Polis Evo 3.
Sharnaaz telah dipilih untuk membawakan watak antagonis dalam sekuel filem yang ditunjangi oleh Zizan Razak dan Shaheizy Sam ini.
“Sewaktu saya terima untuk lakukan projek ini, saya tak nak tanya pasal bayaran. Bila penerbit (Joel Soh) beritahu pengurus saya mereka mahu lakukan sesi ujibakat, saya terus bersetuju biarpun saya seorang yang tak pandai untuk lakukan sesi ujibakat. Saya akan jahanam dengan cemerlangnya. Tetapi saya tetap pergi dan saya tak tahu apa yang saya buat.
“Selepas itu, penerbit beritahu mereka akan ambil saya berlakon untuk filem ini. Dari situ saya tanamkan dalam diri, mampus pun mampus lah! Saya tetap nak buat filem ini. Saya betul-betul berikan sepenuh hati buat kerja ini,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Polis Evo 3.
Tambah Sharnaaz lagi, dia berasa bertuah kerana turut mendapat sokongan padu daripada pelakon utama filem iaitu Zizan dan Sam sendiri termasuklah pengarahnya iaitu Syafiq Yusof.
Dalam filem Polis Evo 3, Sharnaaz membawakan watak sebagai bekas anggota polis bernama Reza. Reza pernah menjadi satu pasukan dengan Inspektor Khai (Shaheizy Sam) 10 tahun yang lalu. Namun disebabkan satu tragedi yang berlaku sewaktu mereka menjalankan operasi, Reza telah nekad untuk membalas dendam terhadap bekas pasukannya.
Selain dibintangi oleh Zizan, Sam dan Sharnaaz, file mini turut membariskan bintang-bintang terkenal seperti Syafiq Kyle, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Douglas Lim, Eyka Farhana, beberapa penampilan khas.
Polis Evo 3 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 Mei 2023.
GIPHY App Key not set. Please check settings