Konsert minggu kedua Big Stage 2023 yang berlangsung semalam menyaksikan kejutan besar berlaku di mana buat pertama kalinya para juri tetap menggunakan Imuniti X untuk menyelamatkan peserta yang tersingkir dan memilih peserta lain untuk disingkirkan.
Tiga peserta yang mendapat markah tercorot pada minggu kedua ialah Naufal Azrin, Aufahanie dan Isaac Woo. Walaubagaimanpun Naufal yang mebawakan lagu Generasiku daripada OAG telah diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.
Namun dua juri tetap iaitu Ajai dan Aina Abdul merasakan belum tiba masanya untuk Naufal meninggalkan pentas Big Stage dan sepakat memilih untuk menyelamatkannya dan menggantikan posisi Naufal dengan Isaac Voo.
Ajai sewaktu ditemui di sidang media berkata, para juri sepakat untuk menggunakan Imuniti X adalah kerana mahu menjaga maruah Isaac agar dia tidak terus menerus mendapat kritikan yang kurang baik.
“Kalau Isaac berterusan membuat persembahan seperti itu, dia akan mendapat kritikan yang kurang memuaskan daripada juri. Pada juri komen-komen itu semua positif, tetapi tak tahulah buat para peserta kerana kita tak tahu hati orang.
“Sebenarnya kami berdua menjaga maruah dia. Kelayakan dia berbanding peserta lain agak jauh.
“Pada konsert minggu pertama, Naufal menyanyi sangat sedap. Kami tahu dia boleh menyanyi sebenarnya. Dia perlu menyanyikan lagu yang tepat,” katanya.
Bagi Aina pula, dia merasakan bahawa bakat Isaac mungkin akan lebih menyerlah jika dia bersama dengan kumpulan, bukannya solo.
Mungkin dengan sokongan ahli dalam kumpulan itu kita boleh nampak karakter sebenar Isaac. Mungkin dia boleh buat ‘comeback’ dalam Big Stage seterusnya dalam bentuk kumpulan seperti Coex,” kongsinya.
Sementara itu bagi Isaac, dia berasa sedikit kesal kerana tidak dapat memberikan persembahan yang baik akibat bergelut dengan masalah kesihatan.
“Sejak dua hari lepas lagi saya tak berapa sihat. Hari ini saya beritahu diri saya sendiri, biarpun tidak sihat, tetapi saya tetap mahu berikan yang terbaik.
“Tetapi saya percaya juri ada sebab tersendiri kenapa mereka memilih saya untuk disingkirkan. Saya terima keputusan ini dan akan terus berikan yang terbaik selepas ini.
“Cuma saya ingin memohon maaf kepada peminat-peminat saya yang telah mengundi selama ini kerana saya tak dapat teruskan perjalanan di pentas Big Stage. Tetapi tak mengapa, saya akan buat yang lebih baik selepas ini. Siapa tahu esok lusa saya akan jadi lebih besar daripada hari ini.
Kata Isaac lagi dia juga tidak menyimpan dendam terhadap Naufal kerana juri memilih untuk menyelamatkan Nuafal dan menyingkirkannya.
“Kami okay sahaja. Saya tak ada simpan perasaan marah atau dendam terhadap Naufal. Selepas buat persembahan, kami saling berpelukan dan cakap tak apa. Kami di Big Stage saling menyokong satu sama lain.
“Dia tak perlu rasa bersalah dengan situasi ini. Apa yang perlu dilakukannya adalah buat persembahan yang terbaik. Saya akan sokong kamu,” ujarnya.
Bagi Naufal pula, biarpun dia gembira apabila tidak disingkirkan, namun dia turut berduka di atas pemergian Isaac Voo.
“Saya sudah reda apabila pada mulanya diumumkan tersingkir. Tetapi apabila abang Ajai dan kak Aina beritahu nak guna Imuniti X, saya bersyukur kerana terselamat.
“Saya ingin mohon maaf kepada peminat-peminat Isaac Voo. Saya tak ada niat untuk situasi ini berlaku. Saya rasa memang saya yang sepatutnya tersingkir. Tetapi saya pun tak tahu nak buat macam mana,” katanya.
Kata Naufal lagi, dia akan cuba tebus kembali kekecewaannya minggu ini dengan memberikan persembahan yang lebih baik untuk konsert akan datang.
Berikut adalah kedudukan setiap peserta selepas tamat persembahan di konsert minggu kedua ; Nadeera (85.67%), Waode (84%), Putera Muhammad (68.67%), HoonDoo (67.67%), Cox (61.33%), Firdaus Rahmat (60%), Farhan Shah (58.67%), Puteri Khareeza (43.33%), Meer Nash (41.33%), Dem Lepak Boyz (41%), Naufal Azrin ( 38%), Aufahanie (37%) dan Isaac Voo (36.33%).
GIPHY App Key not set. Please check settings