in ,

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Kembali Lagi Untuk Edisi Ke-35, Pertaruh 19 Kategori

KUALA LUMPUR 12 MEI 2023. Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (belakang lima kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran (sepuluh kanan) dan Pengasas Fellera Beauty Malaysia, Sharifah Khyra Muhsin (enam kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (lapan kanan) dan Pengarang Hiburan BH,Shamshul Azree Samshir (sembilan kanan) bersama barisan artis pada Majlis Pelancaran Anugerah Bintang Popular BH 35 di stesen kereta api Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Menghangatkan pentas industri kreatif pada fasa peralihan endemik COVID-19, anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) kembali untuk edisi ke-35 dengan mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni.

Terus relevan sebagai acara hiburan pilihan peminat No 1 sejak 1987, Ekspresi Legasi Seni membawa peminat menelusuri evolusi industri kreatif bermula dari era kegemilangan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma hingga bakat pelapis era digital.

Membawa perubahan selaras minat dan aspirasi Gen Z yang menjadi kelompok sasaran utama, ABPBH 35 memberi pengiktirafan kepada anak muda dalam meningkatkan potensi diri serta berkongsi bakat dan nilai positif dalam menggapai kegemilangan.

Ekspresi Legasi Seni memberi interpretasi terhadap usaha berterusan penggiat seni dalam menghasilkan karya tanpa sempadan, namun, tidak mengabaikan jati diri dan menjadikan bintang legenda serta artis ternama sumber inspirasi.

KUALA LUMPUR 12 MEI 2023. Stesen Master Nur Muhammad Zainal Abidin (kiri) menyampaikan plak ABPBH kepada Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamsul Azree Samshir pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular BH 35 di stesen kereta api Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH 35 kembali merancakkan industri kreatif tempatan bagi mengiktiraf sumbangan insan kreatif dalam pelbagai medium dan platform popular, sesuai dengan fasa peralihan endemik COVID-19.

“Selepas penggiat industri kreatif melalui detik sukar sejak penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan sebahagian besar daripada anak seni hilang sumber pencarian, kira-kira tiga tahun lalu, penganjuran ABPBH 35 diharap dapat merancakkan lagi pembangunan industri seni.

“ABPBH 35 sekali lagi berbesar hati memberi mandat kepada peminat yang selama ini cukup setia memberi sokongan kepada artis, selebriti dan pengkarya seni, untuk memilih bintang pujaan masing-masing dalam pelbagai kategori dipertandingkan.

“Sokongan tidak berbelah bahagi peminat kepada pembangunan industri seni menjadi nadi penggerak dan talian hayat untuk sektor kreatif terus berkembang, termasuk pengkarya dan sumber tenaga lain lain yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam landskap seni kreatif tempatan.

“BH teruja dapat membawa ABPBH 35 yang sudah menjadi acara sinonim dalam mengukur kecemerlangan artis dan penggiat seni tempatan. Ini membolehkan pengiktirafan selayaknya diberi kepada anak seni yang bukan sahaja berbakat, malah mempunyai visi untuk membawa karya dan kepakaran mereka lebih jauh dalam era digital,” katanya.

KUALA LUMPUR 12 MEI 2023. Pengarang Hiburan BH,Shamshul Azree Samshir (kiri) dan Pengasas Fellera Beauty Malaysia, Sharifah Khyra Muhsin bersama pengacara Haziq Husni pada Majlis Pelancaran Anugerah Bintang Popular BH 35 di stesen kereta api Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Katanya lagi sebagai penganjur anugerah berprestij, ABPBH mahu terus berevolusi dengan edisi ke-35 memberi fokus utama kepada bakat pelapis yang meneruskan kecemerlangan bintang legenda dan tersohor era lalu, dalam menyajikan hiburan dan berkongsi kreativiti bersama peminat, demi kemajuan sektor kreatif tempatan dan antarabangsa.

Seiring kematangannya, ABPBH 35 membawa kelainan seperti memperkenalkan nama baharu untuk beberapa kategori dipertandingkan, sesuai dengan perubahan landskap industri kreatif dan cita rasa kelompok sasaran iaitu Gen Z. Selain Kategori Utama, Kategori Ekstra! membolehkan peminat membuat pilihan dalam tujuh kategori popular bersifat semasa dan ‘trending’, termasuk kandungan popular platform digital.

ABPBH 35 menyenaraikan calon yang mematuhi syarat asas ditetapkan Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 termasuk penilaian Lembaga Juri ABPBH 35, membabitkan artis atau selebriti yang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk fizikal termasuk rakaman atau kandungan digital yang memenuhi kriteria mengikut kategori disaingi, bagi tahun pencalonan 2021 dan 2022.

Membariskan 12 kategori di bawah Kategori Utama dan tujuh (7) Kategori Ekstra!, peminat boleh mengundi artis pilihan bagi peringkat Top 20 mulai 12 Mei 2023 sehingga 11 Jun 2023 menerusi laman web ABPBH 35 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma ataupun pakej langganan BH digital.

KUALA LUMPUR 12 MEI 2023. Antara barisan artis pada Majlis Pelancaran Anugerah Bintang Popular BH 35 di stesen kereta api Kuala Lumpur. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak 12 kategori utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Turut dipertandingkan adalah tujuh Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Video Viral Popular. Magis malam kemuncak ABPBH 35 yang dibawakan penaja utama, produk kesihatan wanita terkemuka Jelly Ajaib Bellrossa, keluaran Fellera, akan disiarkan secara langsung di saluran TV3 dan Strim Live HD di Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH pada hari Jumaat, 21 Julai 2023.

Ditulis oleh Miki Mukarami

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Big Stage 2023 – Juri Guna ‘Imuniti X’ Untuk Selamatkan Naufal Azrin, Singkirkan Isaac Voo

Tercalon Dalam ABPBH35, Sophia Albarakbah Yakin Peminat Pilih Sebab Bakat Bukan Kontroversi