Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz telah dikecam oleh netizen selepas dia berkongsi sebuah video yang menunjukkan dia telah meletak seekor ular sawa di atas sangkar kucing.
Rata-rata netizen berkata, tindakan pelakon filem KL Gangster itu mampu membuatkan kucing berasa takut, trauma dan rasa terancam dengan kehadiran haiwan pemangsa itu.
Malah video Aaron itu turut mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia yang telah menegur perbuatan aktor berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuatnaik mereka di Instagram.
“Aksi meletakkan ular sawa berdekatan kucing walau dalam keadaan bersangkar boleh menyebabkan kucing ketakutan melampau memandangkan ular dan kucing adalah dua entiti pemangsa dan mangsa. Akibatnya kucing akan mengalami tekanan dan trauma melampau kerana berasa terancam apabila melihat dan bau musuh berdekatan.
“Aaron Aziz mungkin tidak memahami bahawa negara Malaysia mempunyai Akta Kebajikan Haiwan 2015 seliaan Lembaga Kebajikan Haiwan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang melindungi haiwan domestik seperti kucing daripada didedahkan dengan bahaya seperti terkandung dalam 5 Elemen Kebajikan Haiwan iaitu mengelak daripada haiwan peliharaan daripada bahaya dan ketakutan melampau.
“Manakala Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 seliaan Perhilitan Malaysia pula menggariskan setiap haiwan liar seperti ular sawa perlu mempunyai kesen untuk memiliki haiwan liar dan mengadakan persembahan atau tayangan umum sama ada di jalanan arau media sosial.
“Kesemua undang-undang haiwan yang dirangka di Malaysia ini adalah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kehidupan haiwan sama ada domestik atau liar terpelihara sesuai ketamadunan negara yang menuju ke arah kemajuan minda kelas pertama.
“Aaron Aziz adalah dinasihatkan supaya lebih peka dan sensitif dalam mengendalikan media sosial miliknya apabila melibatkan haiwan domestik dan haiwan liar. Diharapkan perkara seumpama ini tidak berulang dan perlu diperbaiki segera,” tulis mereka di dalam hantaran berkenaan.
Menyedari namanya sedang menjadi bualan ramai gara-gara terutamanya pencinta kucing, Aaron telah tampil membuat penjelasan dalam sebuah video yang dimuatnaiknya di Instagram.
Menurut Aaron, sebagai seorang pencinta kucing, dia tidak mungkin sama sekali akan menzalimi haiwan berkenaan. Apa yang dipaparkan dalam video yang dimuatnaik itu adalah sebahagian daripada babak dalam lakonan terbarunya. Bukan dia yang meletakkan ular berkenaan di atas sangkar kucing tersebut. Malah dia sudah bertanya terlebih dahulu dengan pemilik ular sawa berkenaan tentang segala aspek keselamatan membabitkan kucing yang terlibat.
“Silap saya, saya lakukan sesi ‘live’ bersama ular berkenaan kerana saya terlalu ghairah kerana ini pertama kali saya berlakon bersama ular. Saya sudah tanya berkali-kali kepada pemilik ular berkenaan yang mempunyai lesen sama ada kucing-kucing disitu okay ataupun tidak. Jika kucing-kucing itu rasa terancam, kita tak akan teruskan babak itu. Mata saya sentiasa tengok kucing.
“Kalau anda nak maki saya, nak cakap saya bodoh atau apa tak apalah, silakan. Saya pencinta kucing, saya ada sembilan ekor kucing, Tak mungkin saya akan menzalimi kucing. Kucing itu semua berada dalam keadaan aman.
“Apa yang anda tak nampak ialah saya telah tanya terlebih dahulu tentang bagaimana keadaan kucing-kucing tersebut jika diletakkan ular berdekatan. Saya harap orang di luar sana dapat faham situasi saya dan tidak menyalah saya seorang,” katanya.
GIPHY App Key not set. Please check settings