Selepas setahun tidak mengeluarkan lagu, penyanyi Wani Kayrie kini kembali dengan single terbaru berjudul Fajar.
Mengunakan idea sendiri, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah mahu menunjukkan sisinya yang berbeza dalam kemantapan vokal.
“Idea di sebalik genre untuk single ketiga ini datangnya dari saya sendiri kerana mahukan kelainan yang lebih kepada menonjolkan kemampuan vokal,” kata Wani.
Selepas single Kamu Kamu, Wani mengambil masa selama setahun untuk tampil dengan karya baru disebabkan oleh jadual kerjanya yang padat selain sibuk dengan pengajiannya.
“Jadual belajar saya pada ketika itu agak padat kerana semesternya panjang, selain itu pada masa yang sama saya juga banyak menerima tawaran untuk berlakon drama.
“Saya baharu sahaja tamat dengan penglibatan dalam sebuah program televisyen realiti ‘Famili Duo’ bersama Bella Astillah di mana kami berjaya meraih tempat ke-3.
“Syukur Alhamdulillah rancangan tersebut telah membuka mata ramai orang di luar sana yang dapat melihat kebolehan saya dalam menyanyikan pelbagai lagu dengan genre yang berbeza.
“Banyak yang saya pelajari melalui program tersebut terutamanya dari segi kemahiran vokal, idea untuk konsep sesebuah persembahan dan pembaharuan gubahan lagu asal ke genre yang berbeza dalam masa yang singkat,” katanya lagi.
Fajar hasil ciptaan Shazee Ishak, Audi Mok serta Tysha Tiar mengisahkan tentang harapan dalam meneruskan kehidupan.
“Lagu FAJAR menceritakan tentang ‘cahaya’ yang membawa maksud sebuah pengharapan buat setiap insan untuk terus melangkah dalam hidup meskipun menerima banyak ujian dan dugaan.
“Saya percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup ada hikmahnya, dan ‘cahaya’ itulah yang menjadi sumber kekuatan setiap insan dalam mencari hala tuju hidup yang sebenar tanpa menoleh kebelakang serta tidak mengulangi kesilapan masa lalu yang menjadi sejarah hitam.
Sekadar info, Wani merupakan pelajar jurusan Undang-Undang dan Perdagangan dan bakal menjalani latihan praktikal selama enam bulan tidak lama lagi.
GIPHY App Key not set. Please check settings