Penyanyi, Aina Abdul dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) dengan lagu Terus Hidup hasil ciptaan penyanyi itu sepenuhnya.
Menurut Aina, usahanya untuk kali keempat di dalam AJL akhirnya membuahkan hasil kerana sesungguhnya dia sangat berharap dapat merangkul gelaran juara anugerah berprestij tersebut.
“Usaha kali keempat ini membuahkan hasil yang sangat-sangat indah buat saya. Di awal persiapan saya untuk AJL37, saya memang ada harapan yang besar untuk Terus Hidup.
“Saya memang nak sangat rasa kemenangan ini. Berkat doa ibu dan doa-doa peminat saya, kemenangan ini kemenangan mereka dan juga arwah ayah saya yang mana lagu ini memang ditujukan khas buat arwah,” ucapnya.
Aina berucap sewaktu di sidang media AJL37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Selain itu, pemenang anugerah Vokal Terbaik AJL37 itu juga mendedahkan dia berhabis wang berjumlah hampir RM90,000 untuk persembahannya yang menampilkan elemen awan dan serba putih.
“Untuk AJL37, saya tak nafikan yang saya berhabis banyak. saya ada firasat bahawa Terus Hidup sangat istimewa dalam hidup saya. Jadi saya berbelanja agak banyak dalam persiapan hari ini.
“Walaubagaimanapun saya nak sesuatu hasil yang berbaloi jadi saya tahu saya kena melabur untuk diri saya, keluarga Aina Abdul Entertainment, kerana saya membawa semangat pasukan saya yang ramai.
“Hari ini team saya sahaja 30 orang. jadi semangat mereka ini menbuat saya diberikan rezeki dan ruang untuk melabur untuk semua ini,” dedah Aina lagi.
Aina yang merupakan juara AJL 37 berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang berjumlah RM100,000.
Pelantun lagu Terus Hidup itu juga dinobatkan sebagai vokal terbaik dan menerima hadiah wang berjumlah RM12,000 beserta trofi.
GIPHY App Key not set. Please check settings