in ,

Suki Low Nyanyi Lagu Kisah Hidup Shila Amzah

Penyanyi, Suki Low menolak dakwaan single terbarunya iaitu Bahagia Yang Sebentar berkisahkan tentang kecurangan pasangan yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Jelas Suki, jalan cerita yang terdapat di dalam lagu tersebut menceritakan tentang pengalaman komposernya iaitu Shila Amzah.

“Tidak pernah terfikir pula ada yang anggap begitu. Kalau tidak terfikir, itu maknanya, bukanlah niat asal kami.

“Kalau kita baca liriknya, tidak adalah menjurus ke arah kisah yang diperkatakan. Bagi saya, Shila merupakan individu yang sangat terbuka dan pernah berkongsi kisah hidupnya dengan saya, apa yang dilakukan dan kami selalu berhubung.

“Apabila Shila beri lagu ini kepada saya untuk dinyanyikan, saya bertanya kepadanya adakah dia serius memandangkan liriknya berkaitan dengan kehidupan peribadinya.

“Shila bagaimanapun tetap menyuruh saya menyanyikan lagu itu kerana dia sudah pun ‘moved on’ dan enggan mengenang kembali apa yang sudah berlaku,” katanya.

Peserta Gegar Vaganza (GV) 8 itu telah menerima demo lagu tersebut sejak GV8 berakhir lagi, namun ianya dirakam pada awal Januari yang lalu.

“Sebenarnya, saya terima demo lagu ini daripada Shila sehari selepas GV8 berakhir. Selepas mendengarnya, saya memang suka dengan lagu ini dan mahu jadikannya single baharu selepas GV8. 

“Tapi, pada masa itu juga, saya terima pelawaan untuk terbabit dalam projek lagu Nelangsa, OST filem The Assistant arahan Adrian Teh dan juga beberapa projek yang lain seperti berlakon dan penyanyi suara latar untuk filem Pinocchio oleh Disney serta penerbitan lagu Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2022, Keluarga Malaysia Teguh Bersama untuk dinyanyikan oleh saya bersama Amir Masdi, Amos Paul dan Nikki Palikat.

“Selain itu, saya juga sibuk dengan kerja dan jadual lain. Disebabkan itu, saya mengambil lebih masa untuk selami lagu Bahagia Yang Sebentar dan merancang cara untuk menyampaikan lagu ini. Saya terbitkan lagu ini sendiri dan sangat berpuas hati dengan hasil karya kali ini,” katanya.

Menurut Suki dia berasa sangat terharu dan menistiskan air mata apabila menerima lagu tersebut kerana diberi kepercayaan dan berharap Shila berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya rasa sangat terharu, menitis air mata pun ada bila Shila kongsikan demo. Ia adalah sebuah lagu yang penuh dengan jiwa.

“Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila untuk memberi lagu ini kepada saya. Dia seorang yang sangat meyokong karier saya.

“Begitu juga saya terhadap Shila. Saya harap Shila puas hati dengan hasil karya akhir lagu ini,” luah Suki tanda bersyukur.

Lagu Bahagia Yang Sebentar yang didendangkan oleh Suki Low telah dilancarkan pada 3 Februari di semua platform muzik digital manakala muzik videonya boleh ditonton di aluran YouTube Nova Music Videos.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Jelajah Suria Kembali Lagi, Buka Tirai Di Paradigm Mall Johor Bahru Sabtu Ini

Aina Abdul Juara AJL37, Berhabis Hampir RM90,000