Penyanyi dan komposer terkenal, Cat Farish mengesahkan sudah bercerai bersama isterinya Suriani Hassan, 37, talak satu di Mahkamah Syariah Sendayan, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.
Pengesahan tersebut sekaligus menolak dakwaan Cat telah menceraikan Suriani sebanyak talak tiga seperti yang dikatakan oleh bekas isterinya itu.
“Ada beberapa isu yang terlalu peribadi untuk saya kongsikan tetapi apabila cerita ini bertukar tangan lain pula ceritanya.
“Benar memang kami bercerai tapi hanya talak satu bukan talak tiga.
“Saya ada tabiat cakap ulang-ulang, itu sebab perkara itu berlaku. Malah, kejadian berlaku terlalu pantas memandangkan masalah yang ada sudah lama,” dedah Cat
Menurut Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, perpisahan tersebut terjadi kerana beberapa konflik dalaman namun dia berpendirian untuk tidak membuka aib sesiapa.
“Saya tak nak membuka aib. Perceraian ini bermula daripada pihak lelaki yang menceraikan wanita. Tidak ada isteri yang menceraikan suaminya.
“Terdapat konflik membabitkan anak-anak serta keluarga dan untuk saya buka aib itu rasanya tak elok sebab dia pun masih muda.
“Biarlah aibnya terbuka dengan sendiri agar saya tidak perlu mengiyakan atau menidakkan. Perkahwinan kami tidak berlangsung dengan sempurna dan jalan yang paling selamat adalah berpisah,” jelasnya lagi.
Cat berkata demikian sewaktu sidang media Jelajah Suria Anggun Cotton Collection yang berlangsung di Glasshouse, Seputeh semalam.
Cat tidak menafikan yang usaha untuk memulihkan rumah tangganya yang retak itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan
“Sukar untuk kami berdamai kerana dia awal lagi dia sudah keluar dan pulang kerumah orang tuanya di Senawang, Negeri Sembilan.
“Nak berbincang juga susah kerana setiap kali ada peluang untuk bercakap mesti ada saja konflik yang timbul hingga akhirnya emosi masing-masing terganggu.
“Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengelak dari bercakap dan saya memilih untuk berurusan dengan ahli keluarganya saja,” katanya lagi.
Ahli kumpulan Ruffedge itu berpendapat bahawa perhubungan mereka yang singkat sebelum berkahwin menjadi salah satu sebab rumah tangganya runtuh dipertengahan jalan.
“Saya membuat keputusan terlalu cepat untuk berkahwin dulu. Orang pun terkejut bila tahu saya telah berkahwin sekali lagi.
“Apa yang penting adalah, anak-anak perlu tahu dulu. Tengok kalau orang boleh terima anak-anak kita seadanya.
“Tidaklah saya kata yang bekas isteri tak terima anak-anak saya cuma adalah konflik-konflik yang berlaku.
“Bila berkahwin dengan duda yang sudah mempunyai anak ini, kita perlu ingat yang anak-anak adalah keutamaanya. Tak perlu timbul soal siapa cinta pertama. Ini saya beritahu secara umum.
“Saya masih berkawan baik dengan bekas isteri pertama. Orang mungkin tidak percaya yang kami terlalu akrab.
“Kadang-kadang perkara ini juga boleh mengganggu hubungan suami isteri. Tetapi bekas isteri saya yang pertama telah pun berkahwin lain dan mempunyai dua anak bersama suaminya,” kongsinya.
Walaubagaimanapun, Cat tidak menyimpan perasaan marah terhadap apa yang berlaku dan menganggap ini semua takdir yang sudah tertulis.
Terdahulu, Suriani mendedahkan Cat melafazkan cerai sebanyak tiga kali dalam satu masa pada 13 Disember lalu walaupun perkahwinan mereka baru berusia dua tahun.
Untuk rekod, Cat dan Suriani mendirikan rumah tangga pada November 2020 namun perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak.
Sebelum ini, dia pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan disahkan bercerai pada April 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar,12.
GIPHY App Key not set. Please check settings