Kembali dengan single terbaru bertajuk Lafaz, Syafeek Ikhwan percaya karya terbaru ini mampu menyentuh perasaan mereka yang mendengarnya.
Dilancarkan pada 30 Disember yang lalu, lagu Lafaz sesuai didengari buat mereka yang mempunyai pasangan dan ianya membawa mesej untuk menghargai insan yang berada disekeliling.
Artis naungan Alternate Records and Talents itu berharap agar pendengar dapat menerima mesej positif yang disampaikan melalui lagu ini kerana dirinya merasakan lirik lagu itu adalah unik.
“Saya merasakan bait-bait liriknya sangat unik kerana ia mengisahkan sepasang kekasih yang menyesal kerana tidak menghargai apa yang ada di depan mata.
“Mereka ingin menebus kesalahan, memulihkan hubungan yang keruh dan mengharapkan peluang kedua. Namun semuanya sia-sia kerana ia hanyalah fantasi semata-mata dan bukan realiti.
“Justeru, lagu Lafaz membawa mesej kepada para pendengar terutamanya mereka yang mempunyai pasangan hidup agar sentiasa menghargai orang di sekeliling kerana belum tentunya ia akan kekal di sisi.
“Syafeek berharap agar semua pendengar dapat menghayati bait-bait lirik yang mempunyai mesej positif untuk kongsi bersama.
“Syafeek juga berterima kasih kepada semua yang telah menyokong dan memberi semangat untuk saya terus berkarya,” ujar Syafeek.
Lafaz juga merupakan runut bunyi untuk drama terbaru TV3 menerusi slot Samarinda berjudul Bukan Lelaki Terhebat menampilkan pasangan pelakon suami isteri iaitu Adam Lee dan Sweet Qismina yang akan bersiaran bermula 26 Januari ini.
Untuk rekod, Syafeek merupakan juara pertandingan nyanyian i-Sing Dunia 2018 di Perancis dan juga juara program realiti Lagu Cinta Kita 3 terbitan TV3 bersama Zazo Maulana.
GIPHY App Key not set. Please check settings