Pelakon, Anita Baharom selamat diijab kabulkan bersama dengan pasangan pilihannya, Engku Isyamuddin Tuan Losin dengan hanya sekali lafaz kira-kira jam 11:40 pagi tadi di Dewan Bizmila Hall, One City, Subang Jaya.
Pasangan merpati dua sejoli ini dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Zulkifly Baharom dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Muhammad Hakimi Mustapa.
Anita telah menerima mas kahwin sebanyak tiga keping emas dinar manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Majlis Khatam Al-quran dijalankan sebelum ijab dan kabul berlangsung dan majlis ini dihadiri kira-kira 100 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat dari kedua-dua belah pihak.
Aktres berusia 39 tahun ini menzahirkan rasa syukur dengan kelancaran majlis dan mengharapkan perkahwinannya kali ini akan berkekalan hingga ke akhirnya.
“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar seperti dirancang sebelum ini, saya bersyukur sangat kerana diberikan peluang sekali lagi untuk bergelar isteri.
“Saya harap sangat dengan perkahwinan kali kedua ini dapat berikan kebahagiaan bukan sahaja untuk saya tapi untuk anak-anak kerana mereka juga memerlukan kasih sayang seorang bapa,” luah Anita.
Sekadar info, Anita pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd Ismadi Ismail yang merupakan bekas penerbit program TV3 namun Ismadi menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Januari 2022 yang lalu akibat kencing manis.
Perkahwinan Anita dan Ismadi dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11 dan Mohamad Dhia Ismail, 8.
Manakala Engku Isyamuddin pula merupakan duda anak lapan dan ini merupakan perkahwinannya kelima buatnya.
GIPHY App Key not set. Please check settings