Amir Masdi bukanlah artis baharu sangat dalam industri hiburan waima dalam usia 25 tahun beliau telah pun menempatkan namanya sebaris penyanyi popular apabila menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL35) tahun lalu.
Dan seperti artis-artis seangkatan dengannya yang mempunyai impian tersendiri untuk bergelar penyanyi versatil, pemilik bernama penuh Amir Syazwan Masdi ini tidak ketinggalan menyimpan hasrat merakamkan lagu Raya.
Berkongsi mengenai kenangan setiap kali menyambut hari raya, Amir yang meminati lagu raya ‘Cahaya Aidilfitri’ nyanyian Black Dog Bone berkata, dia sangat merindui suasana beraya dan juadah raya di kampung.
“Saya paling terkenang makanan. Selalunya makanan di kampung rasanya lain sebab orang tua masak jadi ia istimewa. Kalau orang lain sibuk bermain mercun, saya lebih suka makan, menonton TV dan layan filem P Ramlee ramai-ramai.
“Jadi, apabila tak balik kampung sejak tahun lalu, mak yang masak, tapi tak sama ‘vibes’ kalau beraya di kampung. Lagi pula, di kampung banyak menu lain dan menarik terutama kalau pergi berziarah. Kalau di KL apa yang ada saja. Paling tidak pun makan di kedai makan,” kenangnya.
Sehubungan itu, bagi mengembalikan nostalgia berhari raya di kampong, beliau tidak teragak-agak menerima tawaran untuk merakamkan lagu raya.
“Sebelum ini tidak pernah terfikir nak rakam lagu raya. Kebetulan tahun ini dapat lagu raya yang menarik. Kalau nak tahu, pada asalnya nak lancar lagu ketuhanan, tapi tak puas hati sangat, jadi tak jadi buat.
“Apabila dapat lagu ‘Hari Ini, Hari Raya’. saya dan syarikat rakaman suka dengan melodinya jadi saya ambil keputusan untuk merakamkannya. Malah, ini adalah kerjasama pertama saya dengan kedua komposernya, Shazee dan Altimet,” cerita Amir.
Menurutnya, secara peribadi, melodi lagu berkenaan lebih rapat dengan pendengar dan dirinya sendiri.
“Sebelum ini, saya tak biasa nyanyi lagu ceria, jadi lagu ini saya pilih sebab nak bagi orang dengar selain ia adalah nyanyian julung kali saya menyampaikan lagu raya, kira impian menjadi kenyataan lah,” tambahnya.
Sungguhpun rakaman lagu dilakukan agak ‘last minute’ dan pada tempoh yang singkat namun beliau berpuas hati dengan hasil penggambaran video muziknya.
“Alhamdullilah, video muzik ini membabitkan saya seorang saja tapi saya ditampilkan dalam karakter yang pelbagai. Jadi, konsep video muzik lagu ini memang lain,” jelas Amir.
Dalam masa sama, Amir sedar walaupun lagu itu tidak boleh dibandingkan dengan kebanyakan lagu raya popular dan evergreen lain, lagu ‘Hari Ini Hari Raya’ tetap memiiki kelebihan dan keunikan tersendiri.
“Kalau nak kata lagu ini boleh setanding dengan lagu raya evergreen lain, sejujurnya biarlah rezeki yang menentukan perkara itu. Lagi pula, lagu raya lama memang kuat auranya apatah lagi ‘Signature’ lagu raya sudah melekat dalam jiwa masing-masing.
“Macam lagu raya baru sekarang ia lebih kepada untuk segarkan telinga pendengar. Malah untuk penyanyi itu sendiri juga lebih kepada untuk profil kerjaya mereka. Macam saya, memang nak ada lagu raya sendiri,” kata Amir jujur sambil berpendapat terbitan lagu rayanya bukan untuk kalahkan lagu raya sedia ada tetapi sekadar memeriahkan lag suasana sambutan raya tahun ini dalam tempoh PKP.
GIPHY App Key not set. Please check settings