Siapa tidak mengenali pendakwah muda, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful. 25, yang lebih popular disapa Dai Syed, lebih-lebih lagi selepas terpalit dalam beberapa kes salah laku seksual.
Ekoran dakwaan yang diterimanya Dai Syed khabarnya berkurung selama sebulan daripada sebarang aktiviti sosial media gara-gara takut dan trauma dengan pandangan netizen.
“Saya rasa dunia ini gelap dan orang tak suka saya tetapi aturan Allah SWT itu tidak dapat saya bayangkan apabila rezeki datang mencurah-curah bagaikan air hujan.” ujar Dai Syed ketika ditemui pada majlis iftar bersama media anjuran Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia (DEWI) di bawah pimpinan Datin Raskidah Ali (foto bawah, kiri) di mana beliau diumumkan sebagai duta emas ‘iGoldMax’ baru-baru ini.
Menyifatkan dirinya yang jatuh sakit bagaikan air hujan menimpa bumi tetapi kemudiannya percaya bahawa air hujan mampu menimbulkan pohon dan bunga yang mekar sebagaimana yang dilaluinya membuatkannya terus bangkit berjuang.
“Saya sendiri tidak menjangka bahawa masih ada peminat yang tetap sokong dan menantikan keaktifan saya dalam sosial media apabila selepas sebulan kembali aktif, ramai yang terus mengikuti saya,” ujar Dai Syed.
Sokongan ramai itu terbukti apabila beberapa aktiviti yang dijalankannya mendapat respon positif khususnya daripada 19,000 peminatnya dalam grup ‘telegram’ mahu pun daripada 406 ribu pengikut laman sosial Instagramnya.
Terbaharu, Dai Syed melancarkan tudung yang dijenamakan sebagai ‘hejhub’ yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab bermaksud ‘hijab cinta’ pada harga RM59 dan RM69 mengikut saiz lebar kain.
“Sebelum ini saya mengeluarkan cookies ‘salted caramel’ yang tanpa diduga mendapat sambutan hangat di mana dalam masa 3 jam sebanyak 2,000 unit dijual pada harga RM22 sebalang.” ujar beliau.
Menurutnya, belum pun produknya itu dilancarkan secara rasmi, beliau berjaya menjual sejumlah 12,299 unit cookies di bawah label ‘Asyedap’
Sehubungan itulah katanya, ia membangkitkan semangatnya untuk terus ‘move on’ dan tidak mahu kes mahkamah yang dihadapinya menghalang kerjayanya.
Mengenang seketika musibah yang menimpa, Dai Syed mengambil peluang menghasilkan buku bertajuk ’23 Hari Semalam’ yang mengandungi 10 bab berceritakan kisah pengalamannya ketika ditahan reman selama itu.
“Buku ini pun mendapat sambutan apabila sudah terjual sebanyak 1,500 secara dalam talian sebelum pelancaran rasminya,” cerita Syed bersyukur dengan rezeki yang diterima serta sokongan peminat tanpa putus.
Dikenali sebagai seorang anak yang penyayang kepada ibunya, Syed memberitahu telah menghadiahkan ibunya emas serta berbelanja hampir RM30,000 untuk hiasan rumah sempena Raya.
“Saya memang anak emak dan mahu menggembirakan emak. Doa emak itu mustajab. Siapa sangka selepas itu saya menerima lamaran sebagai duta emas iGoldax pula,” tambah Syed yang turut teruja apabila single terbaharunya, ‘Ya Habib’ mendapat 1 juta tontonan dalam masa satu bulan dilancarkan melalui Youtube.
Dalam pada itu menyentuh soal kes mahkamahnya, beliau menyerahkan kepada aturan Allah SWT dan berharap jika semuanya selesai beliau berhajat untuk ke Yemen bagi bertemu kembali guru-gurunya yang pernah mengajarnya mendalami kitab-kitab suci al-Quran.
“Dulu saya belajar di Mesir selama 4 tahun tetapi di Yemen cuma 3 bulan dan tempoh itu tidak cukup untuk saya terus mendalami ilmu keagamaan. Jadi hasrat saya mahu ke Yemen selepas segalanya selesai nanti,” Dai Syed berdoa.
Inilah yang dinamakan hikmah di sebalik kejadian, tidak semestinya kejatuhan itu memusnahkan harapan untuk terus berjuang selagi ada usaha ada jalannya, betul tak Dai Syed?
Semoga, ada petunjuk di hadapannya, insyaAllah!.
GIPHY App Key not set. Please check settings