PUTRAJAYA, 16 April – Tersenarai sebagai antara tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia dalam mengendalikan wabak COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata ia adalah pengiktirafan untuk negara termasuk barisan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pengiktirafan bukan untuk saya tetapi untuk negara. Apa yang penting adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan dan memberi nasihat, dan pastinya yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri, contohnya kita melihat kepada tindakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Tangkap layar laman web CGTN yang memaparkan artikel 3 doktor terbaik paling dipercayai kendali Covid-19.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama dan komitmen semua kementerian yang bekerjasama dalam melaksanakan PKP sebagai satu pasukan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Katanya ia juga merupakan hasil sokongan dan dokongan barisan hadapan yang terdiri daripada warga KKM serta agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas masing-masing sepanjang tempoh PKP.

“Terima kasih kepada ATM, PDRM dan pihak imigresen dalam melaksanakan kawalan sempadan serta polis dan agensi-agensi lain yang melaksanakan tugas bagi memastikan rakyat patuh kawalan pergerakan.

“Terima kasih kepada barisan hadapan bermula daripada pihak kesihatan, PDRM ataupun mereka yang tampil kedepan dalam menangani wabak ini,” katanya.

Semalam, rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) menyenaraikan Dr Noor Hisham sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang ‘lahir’ daripada kalangan pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak COVID-19 bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Menerusi laman webnya CGTN “menobatkan” Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.

Anda boleh baca artikel itu di sini – www.news.cgtn.com

Sementara itu, beliau menegaskan tiada bukti saintifik menunjukkan bahawa penggunaan Disinfection Box/Chamber/Tunnel /Booth/Partition/Gate dapat mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap manusia, atau boleh membawa kemudaratan kepada individu seperti iritasi kulit.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini