PUTRAJAYA, 16 April – Kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan juga 60 sehingga 64 tahun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pada mulanya statistik menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 berbanding kumpulan umur yang lain, iaitu 20 sehingga 24 tahun dan juga 56 sehingga 59 tahun.

“Namun apabila statistik bilangan kes COVID-19 ini dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dapat dilihat bahawa kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan juga 60 sehingga 64 tahun,” katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik, satu isu global yang dihadapi oleh negara yang terjejas dengan pandemik itu.

Sementara itu di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata statistik kes kematian COVID-19 yang telah direkod setakat ini pula menunjukkan bahawa 62.6 peratus daripada kes kematian membabitkan mereka berumur 60 tahun ke atas.

Jika dilihat daripada faktor komorbiditi, didapati 80.7 peratus kes kematian menghidap penyakit kronik misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

Beliau juga menekankan kepentingan bagi kumpulan warga emas untuk mendapatkan rawatan segera walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak memandangkan kebolehpulihan dan prognosis bagi sembuh jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan awal.

Adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga misalnya anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas supaya memastikan golongan warga emas mendapat rawatan segera jika tidak sihat dan memastikan bekalan ubatan mencukupi dan temu janji rawatan sentiasa dipatuhi. 

“Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, warga emas serta orang ramai boleh menghubungi Virtual Health Advisory melalui portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari,” katanya. 

Beliau berkata pesakit juga digalak menggunakan perkhidmatan pembekalan Ubat Melalui Pos (UMP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membolehkan ubat dihantar terus ke rumah pesakit tanpa pesakit perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengambil bekalan ubat susulan mereka.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini