SHAH ALAM, 13 April – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan, agar solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid, surau dan musollah, di negeri ini ditangguhkan sehingga 31 Mei, bagi mengekang penularan COVID-19.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata, jika wabak COVID-19 dapat diatasi dan dibendung lebih awal, maka arahan baharu akan dikeluarkan.
“Keputusan melanjutkan penangguhan berkenaan diputuskan dalam satu mesyuarat khas, antara Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.
Katanya Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap 6.5 juta penduduk Selangor, yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini, sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh, dan baginda berharap tidak ada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia, akibat wabak berkenaan.
Tambah Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar rakyat lebih serius dalam usaha mencegah COVID-19 dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri, kesihatan, mengamalkan jarakan sosial, dan patuh kepada peraturan dan arahan kerajaan, serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan.
Sultan Selangor Dukacita
Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor juga dukacita dengan penyebaran berita dan video palsu berkaitan covid-19, yang semakin menular.
Katanya oleh itu, baginda mengingatkan semua pihak, supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita palsu, yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
“Sultan Selangor turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa agar negeri Selangor dijauhi daripada wabak penyakit dan bala bencana, yang boleh menyebabkan kematian.
“Baginda mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam, dan semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah,” katanya.
GIPHY App Key not set. Please check settings