KUALA LUMPUR: Bermodalkan kata-kata manis selain berselindung di sebalik pakaian purdah menjadi taktik seorang wanita bagi menggoda lelaki untuk mendapatkan wang dengan mudah.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas suami yang juga seorang ahli perniagaan di Batu Caves, Selangor, semalam.
Hanya mahu dikenali sebagai Angah, 39, dia mula mengenali wanita terbabit pada Januari lalu melalui satu pesanan email memperkenalkan diri untuk memohon kerja.
Permohonan itu menyatakan dia adalah penuntut jurusan undang-undang universiti di Mesir selain mempunyai kelulusan dari sebuah kolej Islam di Pahang.
“Kemudian saya ada menghubunginya untuk pertanyaan lanjut sebelum bertemu dengannya di Mentakab, Pahang dan mengambilnya sebagai pekerja”.
“Penampilannya sebagai gadis Muslimah itu membuatkan saya jatuh hati padanya sebelum kami berkahwin di Songkhla, Thailand pada 13 Mac atas desakan wanita itu. Saya menyerahkan wang kira-kira RM15,000 kepadanya untuk urusan nikah,” katanya.
Namun, impian membina rumah tangga bahagia tidak kekal lama apabila wanita berusia 28 tahun itu meminta cerai hanya selepas 10 hari bergelar sebagai suami isteri.
Menurut Angah, sejak itu dia menghabiskan wang ribuan ringgit untuk isterinya dan mula curiga.
Selepas diselidik, wanita itu pernah bergelar isteri kepada seorang penuntut semasa di Mesir.
“Saya berjaya menghubungi bekas suami pertaman isteri melalui Facebook untuk mendapatkan cerita sebenar. Setelah lama berhubung, banyak cerita-cerita hitam yang saya ketahui”.
“Lelaki itu mengatakan isteri saya bukanlah penuntut di universiti di Mesir ketika itu, sebaliknya dia hanya pembantu rumah sahaja. Malah, isterinya itu juga pernah menggunakan akaun bank bekas suaminya itu untuk menipu berkenaan pakej umrah, menagih simpati kononnya untuk sambung belajar dan sebagainya,” katanya.
Tambah Angah, dia bertambah curiga dengan bekas isterinya apabila kerap meminta wang, telefon bimbit baharu dan mempunyai beberapa nombor telefon dipercayai diguna untuk menggoda lelaki lain bagi mendapatkan wang.
“Saya juga dapat tahu bekas isteri saya ini mempunyai ramai kenalan lelaki. Dia akan goda lelaki tersebut untuk meminta wang atas bermacam alasan, malah sanggup berkahwin dengan lelaki tersebut. Lebih mengejutkan lagi, bekas isteri saya yang bekerja di sebuah hotel di Pahang juga mempunyai masalah yang dikatakan suka menipu dan itu diakui oleh majikannya,” katanya.
Katanya lagi, bimbang perkara itu berulang kepada mangsa lain, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Wangsa Maju pada 21 Jun lalu untuk tindakan lanjut.
“Kami sah bercerai pada 1 Julai lalu. Cuma, sampai hari ini saya tak pasti wang yang diperolehnya itu digunakan untuk apa,” katanya.
GIPHY App Key not set. Please check settings