Home Featured Akta Antiberita Tidak Benar Berkuatkuasa Hari Ini

Akta Antiberita Tidak Benar Berkuatkuasa Hari Ini

0
Akta Antiberita Tidak Benar Berkuatkuasa Hari Ini

PUTRAJAYA, 11 April – Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) telah diwartakan dan berkuatkuasa hari ini.

Menurut Bernama, warta kerajaan itu disiarkan di portal www.federalgazette.agc.gov.my Jabatan Peguam Negara.

Menurut akta itu, ‘berita tidak benar’ termasuk apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang bahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Kesalahan yang termaktub di bawah Seksyen 4 Akta 803 ialah mengadakan, menawarkan, menerbitkan, dan sebagainya, berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan di bawah Seksyen 5 pula ialah menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah Seksyen 4 yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Ramai pengguna media sosial di Malaysia berkongsi maklumat yang tidak disahkan kebenarannya, tidak betul dan berbentuk fitnah tanpa berfikir mengenai implikasi negatifnya.

Sementara itu, kesalahan di bawah Seksyen 6 pula ialah tidak melaksanakan kewajipan untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000.

Di bawah Akta 803, mahkamah boleh memerintahkan penghapusan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

Akta 803 juga terpakai terhadap bukan warganegara Malaysia atau mereka yang berada di luar Malaysia seolah-olah kesalahan itu dilakukan di mana-mana tempat di dalam negara.

Menurut warta itu lagi, akta 803 terpakai jika berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh oleh pelakuan kesalahan itu ialah warganegara Malaysia.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari