KUALA LUMPUR, 25 Mac – Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid hari ini memilih Siti Aafiyah Khalid sebagai nama puteri sulung mereka.

Siti Nurhaliza, 39, yang ditemani suaminya, Khalid Mohamad Jiwa, 59, atau lebih dikenali Datuk K, membuat pengumuman berkenaan ketika majlis maulid nabi, akikah dan tahnik bersempena kelahiran Siti Aafiyah di kediaman mereka malam ini.

Siti Aafiyah yang sebelum ini mendapat gelaran sementara Fatimah Az-Zahra yang diambil bersempena nama puteri kesayangan Nabi Muhammad SAW, selamat dilahirkan pada 19 Mac, jam 8.17 pagi dan seberat 3.55kg.

Siti Nurhaliza berkata beliau mendapat ilham untuk menamakan anaknya Siti Aafiyah ketika sedang hamil dan berada di tanah suci Makkah sewaktu menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, tahun lepas.

“Doa pendek yang dibacakan suami saya di Makkah sering mengandungi perkataan Aafiyah, malah selepas itu, saya tidak menyangka doa yang sentiasa muncul dalam telefon bimbit memaparkan perkataan Aafiyah. Ia seolah-olah petanda bagi kami untuk memberikan nama anak sebagai Siti Aafiyah,” katanya pada majlis berkenaan.

Dalam majlis sama turut diadakan tahlil dan doa selamat selain cukur jambul.

Penyanyi lagu Terbaik Bagimu ini telah memuat naik video dan foto wajah bayi sulungnya yang kini berusia tujuh hari di Instagram kira-kita pukul 7.30 petang Ahad.

Bayi sulung pasangan Siti dan Khalid dilahirkan pada 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta ibu kota secara pembedahan.

Sepanjang seminggu pasangan itu menamakan Fatimah Az Zahra sebagai nama sementara anak mereka sebelum mengumumkan nama sebenarnya hari ni.

Like kami di Facebook • Follow kami di Twitter • Follow kami di Instagram

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari