IPOH, 20 Nov – Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman membuat laporan di Balai Polis Jelapang, sebentar tadi selepas cuba ditipu oleh sekumpulan lelaki yang membuat panggilan telefon kepadanya, hari ini.

Beliau yang dikenali dengan nama Datuk Seri Vida berkata lelaki yang mendakwa pegawai sebuah bank memaklumkan akaun peribadinya dibekukan kerana mempunyai tunggakan pinjaman peribadi bernilai RM30,000 di Cawangan Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah.

Datuk Seri Vida berkata, beliau terkejut dengan maklumat itu sebelum lelaki berkenaan memaklumkan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan menghubunginya untuk maklumat lanjut.

Katanya, perbualan itu berlarutan hampir dua jam.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa kerana semua nombor telefon yang tertera memang betul, sama ada dari IPK atau bank serta setiap data peribadi yang dimaklumkan juga tepat.

“Namun, saya mula terkejut sebaik dimaklumkan akaun berkenaan terpaksa dibekukan kerana ada individu menyalahgunakan akaun terbabit bagi aktiviti pengedaran dadah.

“Beberapa panggilan terbabit turut bertanyakan mengenai butiran peribadi, termasuk akaun simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan sehingga mendedahkan data peribadi.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari