SEPANG, 2 Nov- Putera Charles, Prince of Wales dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall tiba hari ini bagi lawatan rasmi bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.

Pesawat Tentera Udara Diraja yang membawa pasangan diraja itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.45 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Menteri Pengiring Datuk Seri S. K Devamany. Pasangan diraja itu dijadual melawat pelbagai tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang dalam lawatan selama tujuh hari dari 2 hingga 8 Nov.

Putera Charles dan Camilla dijangka bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk kerabat diraja, kanak-kanak kurang upaya dan komuniti perniagaan.

Pasangan diraja itu juga dijadual akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini merupakan lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari