PETALING JAYA, 31 Ogos – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati ditembak dengan pistol miliknya di kaunter pertanyaan Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya di sini semalam.
Mangsa, Velentino Mesa, 29, ditemui anggota Unit Peronda Polis (MPV) kira-kira pukul 3.25 pagi ketika mereka pulang ke balai berkenaan selepas melakukan rondaan.
Balai polis itu dikatakan berada dalam keadaan gelap sebelum salah seorang anggota MPV pergi ke bahagian pertanyaan dan mendapati mangsa berlumuran darah serta berada dalam keadaan tertiarap.
Mangsa telah berkhidmat selama tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia dan sudah mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 namun belum dikurniakan cahaya mata.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, mangsa yang berasal dari Sarawak ditembak pada belakang badan dengan menggunakan pistol milik anggotanya itu.
Katanya, selain itu, terdapat beberapa tetakan pada kepala mangsa yang dipercayai ditetak oleh suspek dengan menggunakan satu objek tajam.
Tambahnya, anggota polis terbabit ditembak dari jarak dekat malah pistol yang digunakan untuk menembak mangsa turut dilarikan penjenayah.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas lawatan pegawai ke balai berkenaan pada pukul 1.30 pagi.
KEMASKINI TERKINI – 31 OGOS, 8.45 malam
Seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga suspek kes bunuh Lans Koperal Velentino Mesadi di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya, ditahan di KLIA, Sepang, kira-kira 7 malam tadi.
Lelaki terbabit dikesan selepas semakan senarai penumpang mendapati dia akan menaiki pesawat ke Sibu, Sarawak.
Sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan suspek ketika dia sedang menunggu pesawat itu yang sepatutnya berlepas ke Sibu, pada 7.40 malam.
Suspek kemudian dibawa ke IPD Subang Jaya, untuk siasatan lanjut.
GIPHY App Key not set. Please check settings