Slot Tribute P.Ramlee di TV1 sering menampilkan telemovie – telemovie bermutu setiap minggu.

Sempena tahun baharu ini penonton diajak menghayati perjalanan kisah hidup sisi kelam seorang penghidap HIV positif dalam menjalani kehidupan.

Dibintangi pelakon berpengalaman Fauziah Nawi bergandingan dengan Sura Sojangi, Hafiz Halim, Adik Qistina dan Ezrin Loy, telemovie bertajuk “Putih Kemboja” arahan Pali Yahya ini disiarkan pada 7 Januari ini, pukul 9.00 malam.

Kisahnya mengetengahkan kesukaran watak Zaleha yang membesarkan Dahlia dengan penuh kasih sayang walaupun terpaksa membanting tulang. Tanpa disedari Zaleha, Dahlia berkenalan dengan Arman, seorang penagih dadah. Beberapa bulan selepas berkenalan, Dahlia turut terjebak dengan dadah.

Bimbang dengan hubungan baik Dahlia dan Arman, Zaleha mendesak Dahlia berkahwin dengan Arman. Beberapa bulan perkahwinan Dahlia dan Arman, barulah Zaleha sedar yang mereka berdua terlibat dengan dadah, lalu menghalau mereka berdua. Dahlia dan Arman lari ke bandar dan menjadi penagih tegar. Perkahwinan Dahlia dan Arman dikurniakan seorang zuriat, Amira.

Enam tahun kemudian. Arman ditangkap pihak berkuasa ketika sedang mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Ketika menjalani rawatan di penjara, Arman disahkan menghidapi virus HIV. Dahlia tersentak dengan apa yang berlaku. Dia bimbang turut menghidapi virus HIV dan kebimbangan Dahlia terbukti apabila ketika dia mendapat rawatan di klinik kerana demam, dia turut disahkan menghidapi HIV.

Kehidupan Dahlia mula berubah. Melihat Amira begitu setia menjaganya, perasaan Dahlia makin sebak. Terutama ketika dia dalam keadaan gian, Amira tetap menemaninya dan membersih segala muntah Dahlia.

Menyedari hidupnya tidak lama kerana gagal mendapat rawatan sempurna, Dahlia akhirnya nekad membawa Amira pulang ke kampung untuk meminta bantuan Zaleha menjaganya. Zaleha terkedu, sebak dan marah dengan kepulangan Dahlia selepas 6 tahun meninggalkannya. Zaleha memang kecewa dengan sikap Dahlia. Namun sebagai ibu, dia amat merindui anak tunggalnya itu.

Keinsafan yang datang memberi kekuatan kepada Dahlia. Dia cuba menjalani kehidupan seperti biasa walaupun uzur. Setiap hari Dahlia mengajar Amira mengaji walaupun pada mulanya Amira enggan. Bagaimanapun apabila Dahlia memberitahu hasratnya mahu Amira mengaji untuknya apabila dia meninggal nanti, Amira mula tekun mengaji.

Zaleha mengesyaki sesuatu apabila melihat Dahlia banyak menangis. Akhirnya Dahlia berterus terang dengan Zaleha tentang penderitaannya dan hasratnya supaya Zaleha menjaga Amira. Zaleha terkasima. Dengan sisa-sisa yang ada, Zaleha tabah mengharungi kehidupan. Setiap kali dia menjaja kuih, air mata Zaleha tumpah sepanjang jalan dan menarik perhatian Kamariah. Kamariah cuba membantu tetapi Zaleha tetap menyimpan rahsia.

Dalam waktu yang sama, Kamariah berdepan dengan masalah anaknya, Muis yang kurang senang dengan perkahwinan kedua Kamariah dengan Yusof. Muis bukan sahaja membenci Yusof tetapi juga anak hasil perkahwinan Kamariah dengan Yusof, Alia.

Yusof yang sudah berkahwin telah menipu Kamariah sehingga terjadinya perkahwinan di antara Kamariah dan Yusof. Setelah perkahwinan berlaku barulah Kamariah tahu dia hidup bermadu. Itu yang menyebabkan Muis tidak dapat menerima Yusof dan dalam waktu yang sama, Yusof jarang balik dan bila balik pasti meminta duit daripada Kamariah.

Dahlia meninggal dunia. Keadaan menjadi gempar apabila orang kampung tahu Dahlia menghidapi virus HIV. Jualan kuih Zaleha mula tidak laku. Amira mula dipandang sinis. Bagaimanapun Kamariah masih lagi bersimpati pada Zaleha dan Amira. Lalu apakah yang berlaku seterusnya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik. Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini