KUALA LUMPUR, 20 Dis – Pemulihan bekalan air di kawasan yang terganggu akibat kerja penyelenggaraan pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor siap 72 peratus sehingga 4 petang hari ini.

Menurut Syabas, pemulihan bermula 9 pagi, setelah Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 beroperasi semula sepenuhnya tengah malam tadi.

Status pemulihan di kawasan zon 1 adalah 70 peratus di Kuala Lumpur, Petaling 78 peratus, Gombak 91 peratus, Klang 14 peratus, Kuala Langat 91 peratus dan 80 peratus di Kuala Selangor.

Penghantaran bantuan bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan yang terjejas di zon 1 juga sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, pengguna yang masih belum mendapat bekalan air boleh memohon bantuan dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama & Alamat.

Menurut kenyataan itu, pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemat untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air di semua kawasan terlibat.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari