Perancis melarang sebarang bentuk senyuman dalam gambar pasport, termasuk senyuman ala Mona Lisa, memetik satu perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan Perancis pada Khamis.

Seorang penjawat awam Perancis yang tidak dinamakan telah menyaman pihak berkuasa Perancis selepas permohonan pasport beliau ditolak kerana tersenyum dalam gambar pasport.

Plaintif kalah dalam saman itu pada 2014 selepas sebuah mahkamah Perancis memutuskan bahawa gambarnya jelas menunjukkan beliau sedang tersengih.

Kedua-dua mahkamah Perancis membuat keputusan itu berdasarkan peraturan berkaitan gambar pasport yang menyatakan bahawa “riak wajah (pemohon) perlu neutral dengan mulut tertutup” dan “anda tidak boleh senyum.”

Plaintif dan peguamnya telah berhujah bahawa gambar kontroversi itu menunjukkan bahawa beliau sekadar “senyum dengan mulut tertutup manakala riak wajahnya adalah neutral,” seperti yang dilakukan Mona Lisa dalam lukisan terkenal Leonardo da Vinci.

Sebelum keputusan itu diumum, peguam Romain Boulet juga berhujah bahawa peraturan itu tidak mempunyai nilai di sisi undang-undang.

Selain itu, hujah pihak plaintif menekankan bahawa senyuman itu bertujuan memberi “satu rangsangan moral” kepada Perancis yang sedang tertekan dan berharap mahkamah rayuan akan membenarkannya bagi membolehkan rakyat Perancis tersenyum.

Malangnya, niat baik mereka tidak berjaya menarik perhatian mahkamah dan pihak berkuasa Perancis dan rakyat negara itu perlu menerima hakikat bahawa sama ada anda sedang ceria atau berada dalam keadaan tertekan, gambar pasport hanya menunjukkan muka selamba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here