Selepas lima tahun tidak muncul dengan karya baharu, penyanyi kesayangan ramai Anuar Zain mengubat rindu peminat dengan kelembutan dan kemerduan vokalnya melalui album kelima.

Anuar, 46, berkata, album kali ini memuatkan lapan buah lagu, yang disusun dengan penuh ketelitian, disiplin, dan sabar dalam setiap proses bagi menghasilkan karya yang segar dan berkualiti.

“Bagi menjaga kualiti dengan kesesuaian lagu, album ini juga memerlukan lima kali proses “mastering” dan sudah pasti yang menjadi pilihan untuk dimuatkan dalam album ini adalah yang terbaik,” kata Anuar yang berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri seni negara.

“Setiap lagu dalam album ini mempunyai keistimewaan dan ceritanya yang tersendiri, bermula dengan proses pemilihan lagu sehingga ke proses akhir rakaman,” katanya pada majlis pelancaran album yang berjudul ‘Anuar Zain.’

Menurutnya, lagu ‘Andainya Takdir’ ciptaan Helen Yap dipilih sebagai ‘single’ pertama kerana ia sesuai dijadikan lagu pertama bagi penceritaan pendek yang juga membabitkan beberapa buah lagu lain dalam album ini.

CETUSAN IDEA ASAL ANUAR ZAIN

“Muzik Video ‘Andainya Takdir’ yang turut ditayangkan dalam majlis pelancaran ini juga mendapat cetusan idea asal daripada saya sendiri dan diperhalusi dalam bentuk visual oleh Pengarah muzik video, Amor Rizan,” tambahnya.

Kata Anuar, album ini juga dilahirkan selari dengan kematangan fikiran dan ‘Team’ kerjanya di bawah Anuar Zain Network yang menitik beratkan produksi, persembahan kulit album serta promosi album ini.

Album baru - Anuar Zain

“Pada asalnya, kita merancang untuk mengeluarkan kulit album berwarna kelabu. Namun, disebabkan masalah gambar yang kurang bersesuaian sehingga berlaku penukaran kulit album sebanyak tiga kali, akhirnya kita memilih warna emas sebagai warna kulit album,” ujarnya.

Album yang mendapat sentuhan daripada tiga komposer Indonesia dan lima komposer Malaysia ini, juga bakal menemui peminat di 45 buah cawangan Mydin seluruh Malaysia mulai 1 Okt ini.

Anuar berkata, beliau juga mengikuti siri jelajah album yang kekal dengan nama ‘Anuar Zain’ di Mydin Subang Jaya, Pulau Pinang, Terengganu, Seremban, Perak dan Johor Bharu bermula 9 Okt.

Antara lagu yang bakal menjadi halwa telinga pendengar termasuk Kembali, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Hujan, Kembali Padamu Ilahi dan Selamat Malam.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini