in , ,

Dua Lagi Kes Zika Dikesan Melibatkan Pekerja Di Singapura

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Dua lagi kes jangkitan virus Zika melibatkan adik-beradik dikesan di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes dilaporkan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kes kelima melibatkan wanita berumur 35 tahun yang hamil dua bulan di Miri, dan pernah bekerja di Singapura sebelum ini.

Kali terakhir wanita itu melawat Singapura selama enam hari iaitu antara 24 hingga 29 Julai, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pesakit itu telah ke klinik swasta di Miri pada 6 Sept lepas kerana mengalami demam yang berpanjangan dan selesema serta sakit tekak.

“Keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan keputusan adalah positif untuk Zika,” katanya.

Dr Subramaniam berkata pesakit itu telah dimasukkan ke hospital di Miri pada Ahad lepas untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata kesemua enam anggota keluarga yang tinggal serumah dengan wanita itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika.

Bagaimanapun, katanya, kakaknya berusia 39 tahun dan tinggal di Setapak pula turut dijangkiti virus Zika selepas dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Menurutnya wanita itu mula menunjukkan gejala ruam selepas mengunjungi adiknya di Miri pada 26 Ogos lepas sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 6 Sept.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan sejak 1 Sept hingga 14 Sept lepas, sebanyak 68 kes yang didapati mempunyai tanda-tanda virus Zika telah dilaporkan, namun kesemua keputusan ujian adalah negatif, katanya.

“Kementerian ingin mengingatkan semua masyarakat termasuk wanita hamil, perlu melindungi diri dari gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap terutamanya pada waktu nyamuk aktif menggigit antara 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang.

Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, ruam dan konjunktivitis serta mempunyai sejarah melawati kawasan yang melaporkan Zika juga dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera, katanya.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Abdul Latif Sumbang Pingat Emas Ketiga Malaysia, Pecah Rekod Dunia

shimon-peres

Bekas Presiden Israel Nazak Diserang Angin Ahmar