in ,

Tindakan Keras Diambil Kementerian Kesihatan Ke Atas Jualan Ubat Diragui Secara Dalam Talian

PUTRAJAYA, 6 Sept – Bertindak atas ancaman penjualan ubat yang diragui kesahihannya secara dalam talian, sebanyak 244 laman web dan 197 laman sosial di negara ini telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tindakan tersebut diambil kerana didapati laman web dan laman sosial berkenaan menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar, dicampur racun dan juga kosmetik tidak bernotifikasi.

Senarai laman web dan media sosial yang diambil tindakan tersebut akan dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Facebook untuk tindakan penutupan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Cybersecurity Malaysia yang turut berkaitan dengan satu operasi antarabangsa dijalankan bermula 30 Mei hingga 7 Jun lalu.

“Operasi Pangea IX yang diselaraskan oleh Interpol ini memberi tumpuan kepada laman web yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya dan ini adalah tindakan penguatkuasaan berasaskan Internet yang terbesar seumpamanya diadakan,” katanya.

Jelasnya operasi tersebut telah disertai Malaysia melalui Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan 193 agensi penguatkuasaan lain dari 103 negara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan di negara ini turut melibatkan serbuan dan pemeriksaan ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat.

Katanya pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan pusat mel dan kurier, lapangan terbang, pos sempadan, terminal feri dan sebagainya.

“Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 26,949 bungkusan dan 266 premis telah diperiksa dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.37 juta .

“Daripada jumlah tersebut 707 bungkusan pos dan kurier bernilai RM1.3 juta turut dirampas,” katanya.

Katanya antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah produk perangsang seks, pelangsing badan, ubat untuk pengguguran, kosmetik dan produk tradisional dicampur racun yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata serbuan juga telah dijalankan ke atas 93 premis yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal secara dalam talian di seluruh negara.

Dalam serbuan tersebut, katanya sejumlah 1,228 produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM2.14 juta,” katanya.

Katanya Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga bakal membangunkan Makmal Forensik Siber bagi mengembangkan lagi aktiviti siasatan siber yang kini dilakukan oleh pasukan siber farmasi.

Jelasnya makmal tersebut akan berfungsi untuk menyiasat dan menganalisis kes-kes siber yang melibatkan farmaseutikal bagi dijadikan bukti untuk pendakwaan.

“Kementerian Kesihatan juga memberi amaran kepada semua penjual ubat-ubat dalam talian supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terdapat mereka.

“Penjualan ubat di alam maya tidak bermakna mereka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang,” tegasnya.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Peluang Bercuti Ke Sepanyol & UAE Bersama Siti Nurhaliza

Garuda Baham Harimau